News_archive

MYAGROSIS Mampu Jadikan IPT Nadi Pengeluaran Makanan Negara – Najib

By Saturday December 17th, 2011 No Comments

SUNGAI PETANI, 17 Dis (Bernama) — Kelab Usahawan Siswazah Tani (MYAGROSIS) yang dilancarkan pada Sabtu mampu menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini sebagai nadi pengeluaran makanan negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kelab itu juga akan membantu negara dalam menangani defisit import makanan negara yang ketika ini begitu besar berbanding eksport makanan negara.

“Ketika ini kita eksport RM18 bilion setahun tetapi import makanan kita RM30 bilion. Kita berdepan dengan defisit yang cukup besar. Jadi MYAGROSIS ini akan membantu kita menampung defisit ini dengan kaedah-kaedah baru,” katanya ketika melancarkan MYAGROSIS peringkat kebangsaan dan Perhimpunan Perdana Usahawan Belia dan Siswazah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini.

Katanya jika pengeluaran makanan negara dapat ditingkatkan, rakyat tidak akan dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi.

“Punca kos sara hidup yang besar adalah kerana kos makanan. Jadi untuk mengelakkan rungutan rakyat, cara terbaik adalah supply pengeluaran negara ditingkatkan,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi membantu program MYAGROSIS itu.

Katanya Inisiatif Dana Pembiayaan Usahawan Siswazah Tani Agrobank dengan dana khas sebanyak RM10 juta diluluskan oleh Agrobank sebagai pinjaman mudah usahawan siswazah MYAGROSIS tanpa penjamin dengan had pinjaman maksimum RM30,000 untuk menjalankan perniagaan.

“Pada hari ini sebagai tanda sokongan penuh kerajaan kepada usahawan MYAGROSIS, saya ingin mengumumkan dana tambahan sebanyak RM10 juta lagi menjadikan RM20 juta keseluruhannya. Dana ini akan memudahkan usahawan siswazah MYAGROSIS yang berminat dan mempunyai daya usaha yang tinggi untuk memulakan projek agrobisnes mereka,” katanya.

Najib berkata Inisiatif Dana Pembiayaan MYAGROSIS Tekun Nasional pula adalah dana khas dan istimewa untuk Pembiayaan Perniagaan Pelbagai bagi ahli-ahli Kelab MYAGROSIS dan Tekun Nasional.

“Saya dengan sukacita mengumumkan dana khas ini sebanyak RM10 juta khusus untuk usahawan siswazah yang menyertai Kelab MYAGROSIS ini,” katanya.

Najib berkata peruntukan sebanyak RM10 juta pula diberikan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk membolehkannya menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi program MYAGROSIS seperti sistem hidroponik dan sistem bekalan air.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu, beliau berkata Program MYAGROSIS memenuhi beberapa perkara dengan yang pertama adalah kerjasama antara dua kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Pengajian Tinggi yang merentasi sempadan biasa kementerian-kementerian berkenaan.

“Selain itu, ia juga peluang untuk mendedahkan siswa dan siswi kepada bidang pertanian dengan paradigma baru iaitu pertanian sebagai ‘business model’ dan ‘business concept’.

“Ia juga dapat menambah daya pengeluaran pertanian negara dan usaha menambah rangkaian agrobazar yang dapat menjual bahan makanan pada harga yang lebih berpatutan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata universiti-universiti mempunyai kawasan luas yang masih belum digunakan dan ia boleh dioptimumkan menerusi program seperti MYAGROSIS.

Sumber : Bernama

Leave a Reply