News_archive

Mulakan perniagaan dengan kebolehan, bukan tahu siapa

By Sunday March 22nd, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seharusnya memulakan pernigaan dengan mempunyai kebolehan perniagaan dan bukannya melalui mengenali sesiapa.

“Pengusaha yang memulakan perniagaan dengan mengenali sesiapa mungkin akan hanya menjadi pelobi atau “rent-seekers.” Kita nak bangunkan usahawan yang betul-betul komited dan fokus dalam menjayakan perniagaan,” katanya ketika berucap di Simposium Usahawan Bumiputera MIDF 2009 di sini hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata para pengusaha PKS juga harus bersedia dari segi komitmen dan sikap bagi menghadapi sebarang cabaran dan dugaan dalam perniagaan sekiranya menghadapi masalah atau kegagalan.

“Ini merupakan aspek yang amat penting. Kalau tidak ada sikap positif, jangan jadi pengusaha kerana anda hanya membazirkan masa dan wang,” katanya.

Najib juga menyarankan supaya pengusaha PKS membuat inovasi bagi mengelakkan bersaing dalam pasaran yang sudah terlalu ramai pesaing.

“Jangan ikut orang lain kerana jika satu bidang itu sudah terlalu ramai, persaingan akan terlalu sengit dan tidak mungkin kita akan berjaya. Oleh itu kita mesti mempunyai kemampuan untuk melakukan inovasi dan melihat kepada bidang lain yang masih belum diterokai seperti Teknologi Mesra Alam Sekitar,” katanya.

Para pengusaha juga diingatkan supaya melihat kepada langkah mengurangkan risiko melalui jalinan rakan kongsi dengan pihak yang lebih berpengetahuan dan mahir dalam bidang industri berkaitan.

“Kalau kita tak cekap, kita boleh gabung dengan orang lain. Tetapi malangnya, yang kerap kita dengar ialah pengusaha menjadi rakan kongsi tidak aktif atau rakan kongsi pasif,” katanya.

Konsep francais, katanya juga mampu mengurangkan risiko perniagaan.

Najib turut menggalakkan pengusaha membeli teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya dapat dikomersilkan, bagi mempercepatkan produk memasuki pasaran serta mengembangkan ilmu usahawan tempatan dari segi pemindahan teknologi, sistem pengurusan dan lain-lain lagi.

Sumber: Bernama

Leave a Reply