News_archive

M'sia Perlu Model Ekonomi Yang Lebih 'Versatile' – Najib

By Sunday March 22nd, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) — Malaysia memerlukan satu model ekonomi baru yang dapat melonjakkannya ke tahap yang lebih tinggi dan seterusnya mencapai status negara maju, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini adalah cabaran yang harus diatasi selepas negara bebas daripada kemelut krisis ekonomi dunia.

“Kita tersepit antara negara maju dan negara membangun. Kita mempunyai pendapatan sederhana, tetapi bukan negara maju. Jadi kita mesti cari model ekonomi baru supaya kita berada di barisan negara maju,” katanya pada program wawancara Dialog@1 yang disiar secara langsung menerusi TV1 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Ahad malam.

Justeru, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Malaysia perlu mengekalkan kadar pertumbuhannya pada paras lima peratus atau lebih tinggi sekiranya mahu mencapai status negara maju.

Beliau juga yakin Malaysia mampu mencapai status negara maju menjelang 2020 sekiranya pertumbuhan negara berada pada tahap lima peratus dan lebih tinggi selepas pulih daripada krisis ekonomi.

“Kalau tidak dapat kekalkan pada kadar lima peratus ke atas, saya khuatir kita tidak dapat mencapai status negara maju pada 2020,” katanya.

Dalam itu, beliau turut menyeru rakyat agar seiring dalam membantu memulihkan ekonomi negara.

“Keutamaan kita ialah memulihkan ekonomi. Tiada maknanya kita sebut pasal sasaran jika kita masih tertekan lagi dalam kemelut ekonomi.

“Yang utama ialah mengeluarkan Malaysia daripada kemelut ekonomi, lepas itu baru kita cakap pasal sasaran dengan mengambil kira semua kumpulan etnik negara ini,” katanya, sambil merujuk kepada ekuiti yang dipegang oleh bumiputera dalam perniagaan.

Najib berkata beliau juga telah mengarahkan supaya satu laman web khas diwujudkan untuk kedua-dua pakej rangsangan yang masing-masing diumumkan pada November dan 10 Mac lepas.

Katanya orang ramai dijangka boleh mengekses segala maklumat mengenai projek di bawah kedua-dua pakej rangsangan ekonomi itu dalam masa sebulan lagi.

Najib berkata beliau akan meneruskan kesinambungan projek dan dasar yang telah pun dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sumber: Bernama

Leave a Reply