News_archive

M'sia Akan Terus Waspada Terhadap Jangkitan Influenza A, Kata Najib

By Wednesday May 20th, 2009 No Comments

JOHOR BAHARU, 21 Mei (Bernama) — Kerajaan akan meneruskan langkah pemeriksaan ketat di semua pintu masuk negara walaupun Malaysia telah diisytiharkan bebas daripada jangkitan Influenza A (H1N1) berikutan tiada pesakit baru dikesan selepas 16 Mei.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata walaupun semalam negara telah diisytihar sebagai bebas daripada jangkitan influenza A, namun Malaysia akan meneruskan langkah berwaspada yang tinggi terhadap penyakit itu.

“Kita akan terus waspada. Pemeriksaan di pusat-pusat kemasukan utama negara akan diteruskan, terutamanya yang mempunyai kaitan dengan penerbangan-penerbangan daripada Amerika Syarikat dan yang (negara) lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan singkat ke Kota Iskandar, pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor yang baru yang terletak di dalam kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.

Sebelum itu, sejurus selepas tiba di Kota Iskandar, Perdana Menteri telah diberikan taklimat tentang kemajuan pembangunan Iskandar Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Harun Johari.

Najib membuat lawatan singkat ke Iskandar Malaysia hari ini, sebelum meneruskan perjalanannya ke Singapura untuk lawatan rasminya yang pertama ke republik itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Beliau akan berada di republik itu hari ini dan esok.

Perdana Menteri turut ditanya tentang aduan orang ramai terhadap Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Baharu yang didakwa sebagai kurang prihatin terhadap pengguna.

Katanya, kerajaan akan melihat perkara tersebut di dalam usahanya untuk menjadikan bangunan yang menjadi pintu masuk dan keluar ribuan warga negara ini dan asing itu lebih mesra pengguna.

“Kita mahu menjadikan bangunan KIK itu lebih mesra pengguna, kita akan melihat perkara itu dan melakukan penambahbaikan terhadap bangunan terbabit,” katanya.

Terdahulu ketika merasmikan Bangunan District Cooling Kota Iskandar, Perdana Menteri berkata, negara memberi penekanan yang penting terhadap teknologi hijau sebagaimana yang diusahakan oleh syarikat Jana DCS Sdn Bhd menerusi Sistem Lingkaran Pendinginan Berpusat.

Sistem Lingkaran Pendinginan Berpusat di Bangunan District Cooling Kota Iskandar itu membekalkan keperluan sistem pendinginan kepada bangunan-bangunan kerajaan negeri di Kota Iskandar.

Najib berkata, sistem yang berasaskan kepada teknologi hijau itu bukan sahaja menjimatkan kos penyelenggaran, tetapi juga mengurangkan pengeluaran Chlorofluorcarbons (CFC) yang berbahaya terhadap alam sekitar.

“Pada keseluruhannya, saya difahamkan bahawa kerajaan negeri Johor dapat menjimatkan kos sebanyak 15 peratus jika dibanding dengan penggunaan sistem konvensional bagi pendinginan kesemua bangunannya,” kata beliau.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamad Yakcop, para Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Sumber : Bernama

Leave a Reply