AudioFeatured Articles

Ucapan Perdana Menteri mengenai Fasa kedua MRT aliran Sungai Buloh-Kajang


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Bulan ini, kita bakal mencatat sejarah dalam sistem pengangkutan awam negara apabila Fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) aliran Sungai Buloh-Kajang (SBK) disiap sepenuhnya.

Aliran ini bakal berkhidmat untuk lebih 400,000 penumpang – satu pencapaian yang sangat membanggakan bagi MRT Corp dalam usaha menyediakan sistem pengangkutan awam bertaraf dunia.

Secara peribadi, segala projek yang melibatkan pengangkutan awam sememangnya dekat di hati saya, kerana saya percaya hanya jaringan sistem pengangkutan awam yang baik sahaja bantu menjana pertumbuhan ekonomi negara tetapi, yang utamanya ialah meningkatkan lagi kualiti hidup rakyat.

Jika dahulu, mereka yang tinggal di pinggir bandar perlu memandu jauh untuk mencari rezeki. Dengan adanya rangkaian pengangkutan awam yang bersepadu, lebih ramai lagi rakyat Malaysia akan mendapat peluang untuk mengubah taraf ekonomi dan kualiti hidup mereka.

Dahulunya, masalah utama sistem pengangkutan awam ialah hubungan yang terputus. Kini, Kerajaan berusaha menyambung dan panjangkan lagi perhubungan agar pengguna dapat berulang-alik ke tempat kerja dengan lebih cepat dan pada kos yang jauh lebih rendah.

Masa yang dijimatkan daripada memandu pergi dan balik dari tempat kerja selama berjam-jam, kini boleh diluangkan untuk membaca bahan-bahan ilmiah, beristirahat bersama keluarga tersayang, malah jika kita mahu melelapkan mata sebentar setelah tiba di rumah dari tempat kerja pun, Insya-Allah, ada masanya.

Masa itu emas. Sesungguhnya, lebihan masa yang terluang dan penjimatan kos pengangkutan inilah, yang meningkatkan kualiti hidup rakyat. Pelaburan seperti inilah, yang membuktikan kebajikan rakyat terus diutamakan dalam pembentukan dasar-dasar Kerajaan hari ini.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply