News_archive

Sepakat selesai isu 2 kerakyatan

PUTRAJAYA 8 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia dan Thailand sepakat untuk menyelesaikan isu dua kerakyatan yang dimiliki penduduk di sempadan kedua-dua negara dengan menyediakan pangkalan data yang lebih sistematik.

Menurut Perdana Menteri, langkah tersebut dipercayai dapat membantu menyelesaikan isu berkenaan memandangkan ia melibatkan masalah-masalah teknikal.

“Kita ada membincangkan tentang masalah dua kerakyatan dan telah membuat keputusan untuk mengkaji cabaran-cabaran teknikal yang ada, sebelum kita dapat menyelesaikan masalah ini.

”Masalah teknikal ini termasuklah keperluan untuk mewujudkan pangkalan data yang baik,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatnya dari Thailand, Abhisit Vejjajiva di sini hari ini.

Kedua-dua mereka sebelum itu mengadakan pertemuan lebih sejam sempena lawatan rasmi sehari Abhisit ke negara ini.

Pada perkembangan lain, Najib memberitahu, kerajaan Thailand sedang menimbang untuk melaksanakan kerjasama dalam projek pembinaan paip minyak di antara Kota Perdana, Kedah dengan Songkhla, Thailand.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memberi sokongan berterusan bagi menggalakkan pelaburan antara kedua-dua negara.

Abhisit pula menjelaskan, dua bidang yang boleh diterokai oleh Thailand secara usahasama dengan Malaysia adalah industri tenaga, minyak sawit dan industri produk halal.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply