News_archive

Saf Kabinet Najib diperkecil?

 

KELAZIMANNYA seseorang Perdana Menteri yang baru akan membentuk barisan jemaah menterinya yang baru. Kabinet Malaysia setakat ini mempunyai seramai 32 orang menteri yang berada di 28 kementerian dan jabatan.
Ekoran pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri ke-6 negara, beliau boleh membentuk Kabinetnya mengikut acuan yang dikehendakinya..
Persoalannya, apakan rupa bentuk barisan saf Kabinet Najib?
Lazimnya, rombakan Kabinet seseorang Perdana Menteri yang baru akan dibuat berdasarkan beberapa faktor. Antaranya; saiz Kabinet iaitu jumlah kementerian yang mahu dibentuk; siapa yang akan menganggotainya – termasuk soal komposisi anggota perikatan BN serta kedudukan calon-calon UMNO, dan; sama ada akan berlaku proses lantikan pihak luar berstatus Senator atau tidak.
Namun aspek lain yang cukup penting untuk diambil kira ialah soal strategik dan sosio-politik negara. Misalnya, di masa negara sedang bergelut dengan terhakisnya sokongan golongan muda kepada kerajaan dan parti memerintah – apakah fungsi Kementerian Belia dan Sukan perlu diberi nafas baru? Nampaknya sekarang kementerian itu lebih banyak menumpukan kepada soal sukan daripada belia? Bagaimana caranya fungsi belia perlu dikuatkan. Apakah melalui satu entiti tersendiri?
Apa yang pasti, Najib mahukan satu Kabinet yang praktikal bagi memantapkan sistem pentadbirannya.
Semua pihak sedang memerhati dengan penuh teliti langkah penting yang akan diambil oleh Najib dalam membentuk barisan Kabinetnya. Sudah tentu dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, pentadbiran dan pengurusan Malaysia harus dilaksanakan secara mantap, berkesan serta sistematik.
Peringkat pembentukan saf Kabinet ini merupakan ujian sebenar untuk Najib. Najib perlukan saf yang terbaik; dan diterima rakyat.
Besar, tidak semestinya mantap; dan kecil tidak semestinya tidak berkesan. Mungkin satu formula yang praktikal akan dicari bagi membolehkan barisan itu dibentuk dengan baik.
Apa yang pastinya, Kabinet sekarang yang terdiri daripada 32 orang menteri di bawah 28 kementerian dan jabatan terlalu besar. Ia harus dikecilkan – mungkin kepada separuh daripada saiz itu.
Sebagai perbandingan – negara maju Jepun hanya mempunyai 17 menteri Kabinet; Autralia (20), Singapura (20) dan Britain (24).
Banyak daripada kementerian-kementerian yang ada sekarang boleh dipecahkan dan disatukan antara satu sama lain, sementara yang lain dibubarkan.
Mana-mana kementerian yang dicantumkan perlu ditambah timbalan menteri bagi membantu menteri melaksanakan fungsinya. Mungkin jawatan Setiausaha Parlimen juga boleh diwujudkan semula (setelah dimansuhkan selepas PRU-12) bagi membantu fungsi menteri dan timbalan-timbalannya. Melalui penambahan jawatan timbalan-timbalan menteri dan setiausaha Parlimen, fungsi menteri akan menjadi lebih fokus dan tersusun. Buat masa ini, tanggungjawab menteri terlalu besar dan sibuk.
Pemberian kuasa (empowerment) kepada timbalan-timbalan amat penting bagi memberi kesan kepada sistem pentadbiran.
Yang penting, semua pihak ingin melihat tidak lagi berlaku pertindihan kuasa di antara satu kementerian dengan kementerian lain, sehingga menyebabkan sistem penyampaian tidak dapat berjalan dengan berkesan.

 

Sumber: Utusan Online

Leave a Reply