News_archive

Rakyat tunggu kerjasama Pas

KUALA LUMPUR 28 April – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mengalu-alukan kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang akan membantu menjayakan gagasan Satu Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
Presiden GPMS, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, gagasan Satu Malaysia sukar untuk dicapai selagi dua parti utama Melayu, UMNO dan Pas tidak bersatu dan gagal menemui titik persefahaman bersama.
 
“Inilah sebenarnya yang diinginkan oleh rakyat kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, rakyat tidak dihidangkan dengan juadah perpaduan dan kestabilan, sebaliknya lebih kepada politiking semata-mata,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
 
Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas itu yang bersedia untuk menerima kerajaan perpaduan seperti dicadangkan oleh Presiden parti itu dengan syarat BN memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.
 
Reezal berkata, platform pertemuan dan perbincangan antara dua parti itu perlu dibuka seluas mungkin demi kemakmuran dan kestabilan negara, tanpa perlu dikenakan sebarang prasyarat tertentu.
 
“Syarat-syarat tertentu akan hanya mengehadkan titik persamaan dan persefahaman kerana ia akan menjadi hambatan utama kepada matlamat asalnya.
 
“Kerangka perbincangan perlu bersandarkan kepada keikhlasan kerana apabila ia menjadi pertaruhan utama, kami yakin dan pasti hasilnya kelak lebih lumayan daripada apa yang diidamkan pada peringkat awalnya,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply