News_archive

PM Lancar Briged Sukarelawan PLKN Di Pekan Sabtu Ini

Sorry this entry isn’t available in the selected language

KUANTAN, 31 Jan (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Briged Sukarelawan bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Bandar Dara Chini, Pekan Sabtu ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata lebih 10,000 pengunjung dijangka hadir pada pelancaran itu.

Katanya program itu juga akan diserikan dengan 3,000 bekas pelatih PLKN yang akan menyertai briged berkenaan.

Majlis yang bermula pukul 8.30 pagi itu antara lain melibatkan pengisian aktiviti seperti senam robik dan sukan rakyat, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata idea mengenai penubuhan Briged Sukarelawan itu datang sendiri daripada Najib ketika majlis perjumpaan beliau dengan pelatih PLKN di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada tahun lepas.

“Penubuhan briged itu merupakan satu langkah supaya bekas pelatih PLKN dapat memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di mana secara tidak langsung pelajaran dan pengalaman yang diperoleh mereka semasa mengikuti program dapat dikembangkan,” katanya.

Setakat ini katanya, JLKN telah melatih lebih 600,000 orang di 85 pusat seluruh negara dan 15,000 bekas pelatih program itu dijangka menyertai Briged Sukarelawan itu dengan sasaran 200 pelatih dari setiap pusat.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata pihaknya sedang menyediakan kertas kerja untuk dikemukakan ke kabinet bagi memberikan bayaran insentif kepada anggota briged tersebut.

“Dalam kertas kerja itu kita mencadangkan bayaran insentif yang mungkin boleh diberikan kepada ahli-ahli briged selain perkara-perkara lain yang diperlukan,” kata beliau.

Cadangan lain katanya adalah JLKN akan berperanan sebagai badan pengawas berkaitan hala tuju dan aktiviti briged itu, tambahnya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply