News_archive

Perdana Menteri Sampaikan Hadiah Pemenang Pertandingan Foto 1Malaysia

PUTRAJAYA, 20 Mei (Bernama) — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan hadiah kepada tiga pemenang Pertandingan Foto 1Malaysia di pejabatnya di Bangunan Putra Perdana di sini.

Terdahulu, kesemua pemenang tersebut dibawa melawat sekitar kawasan pejabat Perdana Menteri sebelum bertemu Najib untuk menerima hadiah.

Ketiga-tiga mereka, Henry Liew Su Loong, 21; Md Azrul Shaffiq Md Suhaimi, 20; dan Noor Diyana Mohmad Apandi, 20; dipilih sebagai pemenang berdasarkan kreativiti mereka menonjolkan konsep muhibah dan perpaduan yang merupakan elemen penting konsep 1Malaysia dalam foto mereka.

Henry yang dinobatkan sebagai juara menerima sebuah kamera DSLR dari jenama Canon manakala Md Azrul Shaffiq dan Noor Diyana masing-masing menerima sebuah telefon bimbit dari jenama Nokia E63 dan pemain MP3 Ipod Touch.

Pertandingan Foto 1Malaysia diumumkan oleh Perdana Menteri pada 28 Februari lepas di Universiti Malaysia Pahang, diikuti oleh laman blog pada hari yang sama.

Ia diadakan dari 1 hingga 31 Mac lepas dengan tema Perpaduan Melalui Kepelbagaian dan terbuka kepada semua rakyat negara ini berusia antara 18 hingga 23 tahun.

Sementara itu, Henry yang berasal dari Kudat, Sabah ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah mengakui terkejut apabila diberitahu beliau dipilih sebagai pemenang utama.

Anak kepada pemandu bas dan guru sekolah itu berkata, beliau tidak pernah mengimpikan untuk muncul sebagai juara memandangkan ini penyertaan pertamanya dalam pertandingan seumpama itu.

“Saya sangat gembira kerana penyertaan kali pertama membuahkan hasil. Ia adalah galakan untuk saya terus mengejar cita-cita sebagai seorang jurugambar,” kata penuntut Institut Seni Sabah itu.

Katanya, gambar kanak-kanak di sebuah tadika di Kota Kinabalu itu dipilih kerana ia mencerminkan konsep perpaduan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

“Saya mahu sampaikan mesej bahawa perpaduan boleh disemai dari semasa kita kanak-kanak lagi,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply