BlogFeatured Articles

Penglibatan Bumiputera dalam Projek LRT 3

1. Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang ketiga bagi tahun ini. Hasil daripada perbincangan mesyuarat sebentar tadi, sukacita ingin saya umumkan peluang seterusnya menerusi inisiatif “Carve Out and Compete” yang berlandaskan merit, melalui Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) pula.

2. Sebagaimana yang kita sedia maklum, inisiatif “Carve Out and Compete” setakat ini telah merekodkan pencapaian yang amat memberangsangkan dan terbukti telah membantu meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pelbagai projek mega.

3. Sebagai contoh, jumlah keseluruhan projek untuk syarikat-syarikat Bumiputera di bawah projek MRT Line 1 dan Line 2 adalah melebihi 45 peratus atau lebih kurang RM22.4 bilion. Manakala, projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM8 bilion atau 53 peratus daripada nilai keseluruhan projek kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

4. Peluang dalam Projek LRT 3 ini adalah hasil usahasama di antara Prasarana Malaysia Berhad dan MRCB-George Kent Sdn Bhd selaku ‘Project Delivery Partner’, serta sokongan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan agensi-agensi di bawah Kementerian Kerja Raya Malaysia.

Penglibatan Bumiputera dalam Projek LRT 3

5. Projek LRT 3 yang bernilai RM9 bilion ini adalah sebuah projek Infrastruktur Nasional yang dijangka akan membawa impak pemangkin besar di Lembah Kelang. Sejajar dengan matlamat ini, syarikat-syarikat Bumiputera harus diperkasa dengan peluang yang sama rata untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan mereka.

6. Menerusi inisatif “Carve out and Compete” yang di kelolakan di bawah TERAJU, sebanyak 45% daripada jumlah kontrak akan dianugerahkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera. Syarikat Bumiputera yang berkelayakan harus bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan kontrak bagi projek berkenaan, berlandaskan merit.

7. Jumlah keseluruhan pakej yang dirancangkan dengan terperinci daripada kerja Sivil dan Sistem termasuk:
• Jejambat dan Bangunan parkir yang melibatkan 9 pakej;
• Laluan terowong bawah tanah sebanyak 1 pakej;
• Depot kereta sebanyak 2 pakej;
• Depot bas melibatkan 3 pakej;
• Kerja-kerja sistem;
• Pembekalan bahan-bahan binaan dan lain-lain.

8. Kontraktor-kontraktor bumiputera gred G2 hingga G7 di bawah payung CIDB akan berpeluang mengambil bahagian dalam empat kategori utama seperti berikut:

i. Kontraktor Gred G2-G4 – di mana keseluruhan kerja sivil dibahagikan kepada 120 pakej sub-kontrak, dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM60 juta;

ii. Kontraktor Gred G5-G6 – iaitu sebanyak 64 pakej dalam anggaran sekitar RM240 juta telah diperuntukkan untuk kerja bidang sivil;

iii. Kontraktor Gred G7 – iaitu melibatkan beberapa pakej utama dengan nilai anggaran sekitar RM2.5 billion diperuntukkan untuk kerja seperti pembinaan Jejambat, Stesen Keretapi, Depot Bas, Kilang Konkrit, pembekalan bahan binaan dan lain lain; dan

iiii. Kerja-Kerja Sistem dan Bahan Binaan yang dianggarkan sebanyak RM1.25 billion akan diperuntukkan.

9. Saya amat berbangga dengan kesemua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif “Carve out and Compete” ini. Setakat ini, saya difahamkan inisiatif ini telah berjaya mencipta nilai keseluruhan berjumlah RM50.8 bilion menerusi pelbagai projek mega yang telah dikenalpasti.

10. Dengan adanya inisiatif seperti ini, kita harap akan dapat melihat lebih ramai usahawan Bumiputera di seluruh negara untuk terus bergerak maju dan berdaya saing. Kerjasama strategik di antara pelbagai agensi kerajaan dan korporat seperti yang kita saksikan hari ini sudah tentu bakal menaik taraf syarikat Bumiputera dalam memajukan ekonomi negara secara menyeluruh.

Leave a Reply