Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Penduduk Sarawak Punya Masa Depan Lebih Baik Di Bawah BN, Kata Najib - Najib Razak
News_archive

Penduduk Sarawak Punya Masa Depan Lebih Baik Di Bawah BN, Kata Najib

Sorry this entry isn’t available in the selected language

MIRI, 14 April (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penduduk Sarawak akan mempunyai masa depan yang lebih baik di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN), iaitu sebuah kerajaan yang mempunyai masa depan dan matlamat yang jelas.

“Anda mempunyai masa depan yang cerah, jangan biarkan ia berlalu pergi. Kami telah pun merangka masa depan bagi tempoh 10 tahun akan datang, satu rangka tindakan menyeluruh ke arah mencapai Wawasan 2020,” katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di sini Khamis malam.

Beliau menasihati penduduk Miri agar tidak terburu-buru, sebaliknya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada BN.

“Kami mahu sebuah kerajaan lebih kuat yang diwakili oleh semua kaum di Sarawak agar kita dapat bekerja bersama-sama demi masa depan Sarawak,” katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan dan Menteri Air, Tenaga dan Teknologi Hijau Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Turut hadir ialah calon BN, Datuk Lee Kim Shin bagi kerusi DUN Senadin, Andy Chia (DUN Pujut), Rosey Yunus (DUN Bekenu) dan Ripin Lamat (DUN Lambir).

Najib turut memberi jaminan kepada rakyat bahawa peralihan kuasa di Sarawak akan berlaku dan ia akan dilaksanakan dengan cara yang baik memandangkan pemimpin negeri ini telah mengumumkan rancangan untuk melepaskan jawatan apabila tiba masanya.

“…dan beliau (Tan Sri Abdul Taib Mahmud) perlu menyediakan pemimpin pelapis seterusnya untuk mengambil alih kepimpinan dalam memastikan kestabilan yang berterusan di negeri ini.

“Saya boleh beri jaminan ia akan berlaku. Ia akan berlaku. Jangan jadikan ini isu,” tegas Perdana Menteri.

Beliau berkata kerajaan persekutuan akan turut membantu dan memberi sokongan kepada penduduk Sarawak dalam membuat persiapan ke arah masa depan mereka.

Perdana Menteri menegaskan tiada kerajaan alternatif yang lebih baik daripada BN dan menurutnya pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur dan pihak luar terhadap Malaysia adalah bukti bahawa Malaysia di bawah BN mempunyai masa depan baik.

Katanya beberapa pilihan raya kecil yang diadakan di seluruh negara baru-baru ini yang memberikan kemenangan besar kepada BN juga membuktikan sokongan sudah kembali kepada BN.

Oleh yang demikian beliau menggesa rakyat Sarawak untuk bekerjasama dan berganding bahu dan berada dalam kerajaan untuk menggerakkan Sarawak khususnya dan negara amnya ke tahap kemajuan lebih tinggi.

Beliau juga yakin rakyat di negeri ini akan mendapat banyak faedah apabila Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) dilaksanakan sepenuhnya.

Najib turut membidas DAP yang telah melabelkan pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai “Orang Utan”, menyatakan mereka kejam dan tidak seperti pemimpin SUPP yang bersifat budiman dan berpengalaman dalam berkhidmat kepada rakyat.

Mengenai pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Najib berkata Anwar telah kehilangan kewibawaannya, meskipun dalam kalangan sekutunya sendiri.

Beliau berkata rancangan Anwar untuk mengambil alih kerajaan pada 16 Sept, 2008 adalah pembohongan paling besar yang dilakukannya dalam abad ini.

Terdahulu ketika berucap, Dr Chan berkata Najib adalah Perdana Menteri rakyat yang bekerja keras demi kesejahteraan rakyat dan negara ini menerusi dasar inklusif beliau.

Dr Chan, iaitu penyandang bagi DUN Piasau berkata pengundi, terutamanya kaum Cina, perlu memilih untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam melaksanakan pelan transformasi yang akan memberi manfaat kepada semua.

Pemimpin lain yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Sumber : Bernama

Leave a Reply