News_archive

Pendekatan Dialog Cara Paling Sesuai Tangani Isu Agama, Kata Najib

Sorry this entry isn’t available in the selected language

KUCHING, 13 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin dialog merupakan pendekatan yang paling sesuai dalam menangani isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

Beliau berkata dialog tersebut mesti berasaskan keikhlasan dan kematangan bagi mencapai persefahaman dan mewujudkan suasana harmoni antara kaum dan agama di negara ini.

“Saya melihat dalam konteks hubungan antara agama, sekiranya dialog ini didukungi dan disantuni oleh golongan tokoh agama masing-masing, ia pasti akan melahirkan impak positif yang berganda kepada rakyat,” katanya semasa merasmikan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan ke-54, yang bertemakan “1Malaysia 1Ummah,” di Kompleks Islam Sarawak di sini Isnin malam.

Tilawah selama lima hari itu, yang bertujuan menggalak dan membudayakan minat membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam, menyaksikan 29 qari dan qariah memperdengarkan bacaan masing-masing.

“Sesungguhnya harga sebuah keamanan terlalu tinggi nilainya,” kata Najib sambil menambah kerajaan sentiasa memantau dan memelihara sensitiviti rakyat terhadap isu agama yang dicetuskan oleh pihak tertentu yang sengaja mencurah minyak ke dalam api.

Mengenai ungkapan “1Malaysia 1Ummah” yang menjadi tema tilawah pada kali ini, beliau berkata ia mempunyai hikmah yang mendalam dan amat menepati keperluan semasa rakyat Malaysia dan umat Islam keseluruhannya.

Katanya kontrak sosial, latar belakang sejarah dan perlembagaan negara perlu menjadi kerangka panduan dalam membina 1Malaysia yang maju dan harmoni, seterusnya menjadi 1Ummah yang hebat.

“Berdasarkan senario ini, memupuk sikap toleransi dan penerimaan kaum dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada Melayu, Cina, India, Melanau, Iban, Kadazan-Dusun, Bidayuh, Bajau, Senoi dan lebih 200 suku etnik perlu terus menerus diperkasakan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata hakikatnya keunikan negara Malaysia adalah kerana kemajmukannya dan perlu dipertahankan sebagaimana di Madinah dahulu, Rasulullah SAW mengukuhkan dua sisi perpaduan iaitu sesama umat Islam dan warga pelbagai kabilah.

“Jangan disebabkan nyamuk seekor, kelambu dibakar, dan janganlah disebabkan dua-tiga isu remeh-temeh yang tidak sependapat, maka kita sanggup mengadaikan keamanan yang kita kecapi pada hari ini,” katanya.

Dalam mempertahankan kemakmuran dan kebajikan rakyat, yang merupakan akar utama perjuangan kerajaan sekian lama, Najib berkata program transformasi sosial dan ekonomi yang holistik, baik daripada segi tadbir urus kerajaan telah diperkenalkan.

Beliau berkata kerajaan tidak pinggirkan agenda pembangunan Islam dalam usaha mensasarkan uutuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Malah kerajaan mengiktiraf sepenuhnya peranan golongan agama dalam memacu negara kepada Wawasan 2020 yang disasarkan, yang terbukti apabila kerajaan memastikan pendapatan guru Kafa, guru takmir masjid dan para imam benar-benar melepasi tahap kemiskinan melalui kenaikan elaun bulanan mereka mulai tahun ini, katanya.

Mengenai tilawah al-Quran yang diadakan setiap tahun, Perdana Menteri berkata ia merupakan satu simbol kepada komitmen murni berterusan kerajaan dalam memartabatkan al-Quran di negara ini.

“Majlis sepenting ini sudah semestinya akan membawa impak berterusan kepada kekuatan 1Ummah, termasuk menganjurkan tilawah peringkat antarabangsa saban tahun,” katanya.

Sementara itu, Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu berkata perpaduan ummah merupakan asas yang paling baik untuk mencapai kemajuan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini.

Beliau berkata kerjasama padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum telah terbukti berjaya membawa negara ini ke satu haluan dan tahap pembangunan yang lebih baik.

Perpaduan merupakan asas dan teras perjuangan, katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply