News_archive

Pemimpin APEC Terima Baik Impak MBE

Sorry this entry isn’t available in the selected language

HONOLULU, 14 Nov (Bernama) — Para pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) menerima baik Model Baru Ekonomi negara yang muncul sebagai satu perubahan kepada ekonomi Malaysia terutamanya dengan menjana peningkatan pelaburan asing sebanyak US$60 bilion serta mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan dengan agak pantas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semasa perbincangan dengan pemimpin-pemimpin serantau ketika sidang kemuncak APEC di sini pada Ahad, mereka telah menunjukkan minat dalam pendekatan menyeluruh Malaysia ke arah pembaharuan ekonomi yang berbeza daripada negara mereka.

“Negara lain buat pembaharuan dalam birokrasi masing-masing, tetapi kita jadikan pembaharuan itu sebahagian daripada satu gagasan yang besar berdasarkan Model Baru Ekonomi dan kita mempunyai perancangan jangka panjang selama tempoh 10 tahun,” kata beliau semasa mengulas pencapaian sidang kemuncak APEC 2011 yang berakhir pada Ahad.

Beliau berkata Malaysia mempunyai program-program pembangunan ekonomi yang lebih terperinci.

“Walaupun negara-negara lain ada pembaharuan, tetapi tidak dikaitkan dengan satu gagasan keseluruhan sebagaimana yang kita lakukan di Malaysia,” kata Najib.

Semasa membentangkan mengenai Malaysia, beliau berkata “visi jangka panjang kita berdasarkan kepada visi untuk menjadikan negara sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi.

“…dan saya terangkan bahawa kita telah mengubal Model Baru Ekonomi sebagai satu perubahan yang boleh bawa kita mencapai visi negara melalui Program Transformasi Ekonomi dan Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) di mana program-program sektor swasta beri maklum balas yang positif sekiranya kita memberi peluang melalui NKEA,” kata beliau.

Beliau berkata pembaharuan dalaman yang dilaksanakan oleh PEMUDAH dan PEMANDU membawa kepada “gabungan pendapat antara sektor swasta dan sektor awam”.

Perubahan struktur peraturan dan pengurangan karenah birokasi juga telah membaiki ranking Bank Dunia negara dari 26 kepada 21 dua tahun lalu kepada 18 sekarang, tambah beliau.

Beliau berkata pemimpim-pemimpin pada sesi APEC kali ini, berpendapat amat penting bagi “kita sebagai satu wilayah mencari pendekatan dan usaha untuk terus mengembangkan ekonomi Asia Pasifik, antaranya melalui peningkatan perdagangan dan pelaburan melalui dasar liberalisasi dan penubuhan kawasan FTA melalui TPP yang sedang dirundingkan.”

Negara-negara APEC juga perlu melakukan pembaharuan termasuk perubahan dalaman serta mengelak penghalang kepada sektor swasta dan perniagaan yang boleh melambatkan atau menjadi hambatan kepada perkembangan ekonomi masing-masing.

Najib berkata meskipun tinjauan masa depan yang agak suram memandangkan krisis hutang di Eropah, APEC yang dipengerusikan Presiden AS Barack Obama berjaya dalam “semangat kerjasama di kalangan pemimpin-pemimpin memberikan sedikit harapan yang Asia Pasifik masih menjadi kawasan pertumbuhan.”

“Tetapi kita telah diingatkan bahawa kita tidak boleh mengasingkan masalah di Eropah kerana jika ia semakin teruk, ia sudah tentu akan memberi kesan kepada seluruh dunia,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Laggard, dalam pembentangannya kepada pemimpin-pemimpin APEC, menjelaskan bahawa tabung berkenaan telah mengurangkan unjuran pertumbuhannya bagi ekonomi global tahun ini kepada 4.0 peratus.

“Namun, masih ada risiko menurun yang besar kalau tidak ditangani krisis hutang negara ini dengan baik oleh negara-negara di Eropah,” kata beliau.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor kemudiannya menjadi hos majlis makan malam untuk lebih 300 tetamu yang termasuk komuniti dan pelajar Malaysia di Hawaii, pada pegawai dari East-West Center, serta lebih 20 sukarelawan keamanan yang berkhidmat untuk Malaysia pada awal 1960-an.

Najib, bersama Rosmah, berlepas ke Malaysia pada 12.05 pagi pada Isnin dari Pangkalan Tentera Udara Hickham dengan pesawat perbadi.

Sumber : Bernama

Leave a Reply