BlogFeatured Articles

Pemegang Biasiswa JPA

Petang saya sedikit berbeza dan menarik hari ini apabila saya berkesempatan bertemu dengan individu yang merupakan antara anak-anak muda paling berbakat di negara ini.

Seramai 14 individu pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang merupakan graduan daripada universiti terkemuka dari seluruh dunia termasuklah Universiti Harvard dan Universiti Oxford hadir dalam sesi pertemuan pada petang ini. Mereka ialah peserta program Talent Acceleration in Public Service (TAPS) dan Scholarship Talent Attraction and Retention (STAR).

WhatsApp Image 2016-08-09 at 8.58.59 PM

TAPS ialah inisiatif oleh JPA dalam usaha menjadikan perkhidmatan awam sebagai satu kerjaya pilihan. Manakala, inisiatif STAR adalah satu usaha sama antara JPA dan TalentCorp, yang membolehkan pemegang biasiswa JPA menunaikan bon biasiswa mereka dengan bekerja di syarikat-syarikat terkemuka yang membantu dalam memacu transformasi ekonomi Malaysia.

Inisiatif yang saya umumkan pada tahun 2011 ini bertujuan untuk memastikan Malaysia memperoleh manfaat daripada pelaburan kerajaan dalam usaha membangunkan modal insan melalui biasiswa. Ini dapat dicapai dengan memastikan setiap bakat yang ada dapat kita kekalkan dan boleh menyumbang bakti terhadap tanah air.

Saya gembira mendengar kisah mereka pada hari ini, antaranya ada juga yang terlibat dalam pembuatan dasar negara dan projek-projek infrastruktur mega secara langsung.

WhatsApp Image 2016-08-09 at 8.58.59 PM

Nadira Jeannot, graduan seni bina dari Universiti Melbourne, Australia kini bertugas di Gamuda Berhad. Menjadi wanita dalam bidang dan pasukan yang didominasi lelaki, Nadira adalah salah seorang yang terlibat bersama-sama dalam projek mega MRT. Paling menarik, beliau sentiasa menyimpan keinginan sejak kecil ingin menyumbang bakti kepada negara melalui projek-projek yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Alhamdulillah, ternyata peluang belajar di luar negara melalui JPA ini bukan sahaja memberi beliau kerjaya malahan juga peluang merealisasikan impian waktu kecil beliau. Saya beritahu Nadira dan mereka yang hadir, apabila kerajaan meneroka projek seperti MRT, ia bukanlah mengenai pelaksanaan projek mega ataupun menaik taraf pengangkutan awam semata-mata, sebaliknya ia menjadi wawasan saya untuk memberi peluang kepada anak muda seperti beliau untuk memperoleh pengalaman berharga ini.

Selain daripada Nadira Jeannot, Nicholas Khaw Hock Lu juga merupakan salah seorang anak muda yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa. Graduan jurusan ekonomi dari Universiti Harvard ini memulakan kerjaya beliau di Unit Perancang Ekonomi. Menurut Nicholas, tanpa JPA yang membantu menaja dari peringkat A-Level, beliau mungkin tidak akan berpeluang untuk memohon apatah lagi belajar di Harvard.

Nicholas yang kini bertugas di unit strategi pelaburan di Khazanah Nasional ini merupakan antara individu di sebalik inisiatif pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Kesepuluh, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan beberapa lagi inisiatif pembentukan strategik kerajaan.

Seorang lagi anak muda yang hadir sama petang ini ialah graduan jurusan perakaunan dari Universiti Oxford, Marianne Chuo Zung-Yan. Marianne merupakan kumpulan perintis program STAR dan mendapat peluang untuk bekerja di Accenture Malaysia melalui program ini. Antara syarikat yang menerima khidmat beliau ketika di Accenture termasuklah perniagaan huluan Petronas.

Hari ini, anak kelahiran Kuching, Sarawak ini berkhidmat di Honest Bee Malaysia, sebuah syarikat yang membekalkan perkhidmatan pembelian barangan runcit atas talian yang terkemuka di Asia. Marianne, semoga usaha anda untuk mengembangkan perniagaan syarikat Honest Bee di Malaysia akan memperoleh kejayaan.

Ini adalah sebahagian daripada kisah yang dikongsi bersama saya pada petang tadi. Saya juga ambil maklum cadangan yang diberikan oleh mereka supaya sektor awam perlu menambah baik beberapa faktor untuk menarik minat bakat muda berkhidmat dalam sektor ini. Faktor ini termasuklah peluang untuk mengembangkan kerjaya, pakej manfaat yang tepat serta sistem penilaian dan ganjaran berasaskan merit.

Saya berpegang teguh dan percaya dalam usaha menjadikan sektor awam lebih menarik dan akan meneruskan usaha meningkatkan kualiti sektor awam. Kerajaan tidak pernah ragu-ragu dan takut untuk membuat keputusan yang kurang popular tetapi tepat bagi kesejahteraan negara.

Syabas semua! Saya menghargai setiap input yang diberikan dan berharap anda semua terus menyumbang tenaga dan berbakti kepada tanah air ini.

Leave a Reply