News_archive

Pelan Transformasi Untuk Kepentingan Rakyat, Bukan Cari Populariti: Najib

Sorry this entry isn’t available in the selected language

SUBANG, 22 Julai (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua perancangan dan transformasi kerajaan dibuat berdasarkan pertimbangan jangka masa pendek dan panjang untuk kepentingan rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata, sebagai pemimpin sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau akan memastikan setiap agenda yang dirancang tidak harus berpaksikan kepada niat untuk mendapat populariti.

“Saya melihat soal jangka panjang untuk negara supaya sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh berdiri atas platform mendapatkan populariti tetapi mengorbankan kepentingan jangka masa rakyat dan negara.

“Saya nakkan supaya kita semua faham bahawa sebagai seorang pemimpin yang memegang jawatan sebagai ketua kerajaan di peringkt persekutuan, saya perlu melihat dan memberi pertimbangan bukan saja daripada perspektif jangka pendek tetapi juga perspektif jangka panjang,” katanya ketika berucap pada jamuan rakyat sempena program Sepetang Bersama Perdana Menteri di Sekolah Kebangsaan U3, Subang Perdana di sini, Jumaat.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Noh Omar dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Berucap di hadapan kira-kira 2,000 tetamu, Najib berkata, sesebuah parti yang hanya mengejar populariti demi sokongan ketika pilihan raya, akan sanggup mengorbankan prinsip jangka panjang dan juga kepentingan masa depan negara di mana pada akhirnya rakyat sendiri yang akan menderita.

Beliau berkata, kerajaan yang bertanggungjawab tidak hanya bijak menyelesaikan isu semasa tetapi mesti juga mempunyai perancangan dalam menentukan supaya masa depan negara tidak terjejas.

“Kita tidak janji yang kita tidak boleh tunaikan dan kita tidak janji yang tidak berpijak di bumi nyata, kita tidak janji hari ini berkuasa, esok harga minyak turun, ini janji untuk meraih populariti semata-mata, tidak ada perancangan untuk jangka masa panjang negara tercinta.

“Kita tidak boleh bersifat sedemikian, kita mesti melihat bagaimana kita boleh mengimbangi antara kepentingan meniti proses globalisasi dan memberi pertimbangan dalam negara kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha melakukan transformasi bagi kedua-dua jangka masa itu, kerajaan tidak boleh terbatas dalam kepompong negara untuk dilihat hebat di persada dunia tetapi penghormatan itu harus diperoleh menerusi pelan transformasi menyeluruh dengan sebahagian daripada pasaran di peringkat antarabangsa berjaya dikuasai.

“Kita nak orang hormati kita kerana kita berjaya membangunkan negara kita, melakukan transformasi pada negara kita. Kita juga nak supaya pasaran antarabangsa itu sebahagiannya dapat dikuasai oleh kita, dan dengan cara seperti ini, bangsa Malaysia akan maju, bangsa Malaysia boleh menjurus ke arah menjadi bangsa yang maju menjelang 2020,” katanya.

Najib berkata di samping melaksanakan perubahan yang besar, kerajaan juga tidak pernah melupai keperluan seharian rakyat yang harus dibela di mana setakat ini sebahagian permasalahan mereka dapat ditanganinya dengan baik.

“Ada orang tanya pada saya, apa kerajaan buat, seolah-olah dia kata dia belum rasa lagi apa kerajaan buat untuk dia.

“Saya tanya balik pada dia, saudara ada tak isi minyak dalam kereta saudara, isi dengan RON95, setiap liter, 80 sen itu (adalah) subsidi kerajaan, dalam tepung yang digunakan untuk ulit roti canai, pun ada subsidi, dalam minyak masak ada subsidi, dalam beras ada subsidi, malah anak-anak pergi ke sekolah ada juga subsidi di mana pendidikan hampir percuma dalam negara kita,”katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak pernah merasa bangga atas kebaikan yang dicurahkan kepada rakyat berbanding pembangkang yang akan ‘riuh sekampung’ walaupun hanya memberikan RM100 kepada rakyat.

“Uar-uarkan kepada mereka, perjuangan kita ini jauh lebih besar daripada mereka, cuma mereka ini pukul gendang lebih kuat saja tetapi kita mesti beritahu bahawa kerajaan Barisan Nasional dari dulu hingga sekarang tetap akan terus membantu. Kita akan ubah landskap tanah air secara transformasi menyeluruh,” katanya.

Najib, yang baru tiga jam pulang ke tanah air daripada lawatan lapan hari ke Turkmenistan, United Kingdom dan Itali, turut menyatakan rasa bangga dengan kehadiran ramai tetamu pada majlis itu walaupun notis majlis dibuat dalam tempoh terhad dan berharap semangat itu dapat diterjemahkan ketika pilihan raya umum akan datang.

“Saya tidak tahu apa kesimpulan daripada kehadiran yang begini meriah, sama ada ini petanda baik ataupun tidak, sama-samalah kita tunggu.

“Saya berbangga sokongan mereka yang hadir dalam majlis ini, mudah-mudahan sokongan ini dapat diterjemahkan bila sampai ke masanya tetapi jangan tanya saya bila masanya itu,” kata Perdana Menteri.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan sumbangan RM165,000 di bawah program baik pulih rumah 1MDB kepada 33 keluarga serta sumbangan keperluan harian kepada 200 penerima terdiri ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin dalam kawasan Parlimen Subang.

Sumber : Bernama

Leave a Reply