News_archive

Negara makmur bukti ekonomi baik

Sorry this entry isn’t available in the selected language

HULU LANGAT 21 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan berjaya menguruskan ekonomi negara dengan baik ketika beberapa negara maju sedang berhadapan krisis ekonomi yang begitu teruk ketika ini.

Menurut Perdana Menteri, sehingga saat ini semua kakitangan awam bukan sahaja menikmati gaji dan ganjaran seperti ditetapkan malah turut diberikan bonus setengah bulan gaji sebagai persiapan menghadapi hari raya tidak lama lagi.

Selain itu, beliau berkata, kesemua program yang digariskan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) serta Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) juga berjalan seperti dirancang.

“Ini membuktikan ekonomi negara kita makmur. Berbanding dengan beberapa negara maju yang lain ada antaranya pada masa ini terpaksa memotong beberapa peruntukan termasuk bayaran pencen ekoran masalah kewangan.

“Di negara kita, bayaran pencen berjalan seperti biasa dan selain kakitangan awam, kerajaan juga bersetuju memberi bonus RM500 untuk semua pesara kerajaan. Alhamdulillah rahmatnya hidup di bumi Malaysia ini,” katanya.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 5,000 hadirin pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Rakyat Selangor di Dataran Usahawan Masjid Hishamuddin Alam Shah, Batu 14 di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Noh Omar; Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd. Aziz dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Ismail Sani.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan warga emas termasuk pemberian komputer riba 1Malaysia serta pelancaran Dataran Usahawan.

Perdana Menteri berkata, kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) tidak terkecuali berhadapan dengan masalah kewangan apabila saham di negara itu jatuh merudum, hutang berada pada tahap maksimum serta kadar pengangguran melebihi sembilan peratus.

“Negara maju di Eropah seperti Britain juga berhadapan dengan masalah sama. Begitu juga dengan negara lain di benua berkenaan.

“Ada antaranya terpaksa memohon bantuan negara lain bagi menyelamatkan keadaan ekonomi negara mereka yang begitu teruk,” ujarnya.

Sementara itu, ketika memberi reaksi permintaan penduduk di kawasan ini supaya salah satu tol Lebuh Raya Grand Saga ditutup, Najib berjanji perkara itu akan dikaji oleh Kementerian Kerja Raya sedalam-dalamnya sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Begitu juga cadangan untuk menaik taraf Hospital Kajang ekoran keperluan yang mendesak, satu kajian mengenainya juga akan dibuat sebelum kerajaan mengambil satu ketetapan,” katanya.

Sumber : Utusan

Leave a Reply