News_archive

' Najib Warisi Dedikasi Tun Razak '

KUALA LUMPUR: Tun Rahah Mohd Noah, 75, tidak pernah menyangka anak sulungnya yang membabitkan diri dalam bidang politik bakal menjadi Perdana Menteri, mengikut jejak suaminya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Balu kepada bekas Perdana Menteri kedua itu bagaimanapun melahirkan rasa syukur kerana Najib yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam hari ini berjaya sampai ke tahap tertinggi dalam kerjaya politiknya.

“Memang saya tidak pernah terfikir Najib akan menjadi menteri apatah lagi Perdana Menteri seperti ayahandanya. Ingatkan seorang saja dalam keluarga yang menjadi Perdana Menteri. Alhamdulillah, beliau mencapai tahap tertinggi dalam kerjaya politiknya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Rahah berkata, semasa hayatnya Abdul Razak sentiasa menasihatkan anak-anaknya supaya rajin belajar dan mendapat keputusan yang baik dalam pelajaran selain mesti bekerja kuat kerana Allahyarham memang seorang yang kuat bekerja.

Ditanya mengenai ciri keperibadian Tun Razak yang ada pada Najib, ibu kepada lima anak lelaki itu berkata, kedua-duanya kuat bekerja dan memiliki dedikasi tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Dalam hati Allahyarham terpahat semangat bekerja kuat untuk berkhidmat kepada masyarakat. Itu yang ada pada Najib dan yang dilakukan beliau sekarang. Sebagai ibu, pastinya saya gembira untuk anak saya,” katanya.

Najib yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam hari ini mempunyai banyak persamaan dengan bapanya dalam kepemimpinan negeri dan negara. Razak pernah dilantik Menteri Pelajaran dari 1956-1957 manakala Najib memegang jawatan sama antara 1995-1999.

Razak pernah memegang jawatan Menteri Pertahanan dari 1957-1959 manakala Najib memegang jawatan sama pada 1990-1995 dan dilantik portfolio sama pada 1999 hingga awal 2009.

Di dalam Umno juga mereka melalui jalan yang sama. Kedua-dua bapa dan anak ini pernah menjadi Ketua Pemuda Umno. Kemudian Razak menjadi Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Najib, daripada Timbalan Presiden Umno dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri kini menjadi Presiden Umno dan dilantik Perdana Menteri keenam.

Malah, ketika Razak mula memegang jawatan Perdana Menteri pada 1970, negara sedang dilanda krisis perkauman berikutan tercetusnya tragedi 13 Mei 1969. Kini, Najib pula bukan saja berdepan krisis ekonomi global yang turut melanda negara, malah perlu memacu negara keluar daripada kemelut politik yang berlarutan sejak pilihan raya umum tahun lalu.

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply