News_archive

Najib Tiba Di Brunei Untuk Lawatan Dua Hari

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan dua hari ke Brunei Darussalam, iaitu lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini selepas menjawat jawatan Perdana Menteri awal bulan ini.

Ketibaan Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 3.30 petang, disambut oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei Pehin Awang Adanan Awang Mohd Yusof, yang juga menteri pengiring, dan isteri Datin Paduka Salmah Hanafiah.

Perdana Menteri kemudian berjalan melalui barisan kawalan kehormat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Delegasi Najib terdiri daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu dan Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay selain beberapa pegawai kanan kerajaan.

Najib dan Rosmah akan menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha serta Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar di Istana Nurul Iman petang ini.

Ini disusuli dengan pertemuan empat mata antara Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah dengan kedua-dua pihak dijangka membincangkan isu kepentingan bersama dengan matlamat memperkukuh dan meningkatkan persahabatan serta kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Sultan Hassanal Bolkiah akan turut meraikan Najib dalam majlis jamuan malam.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Ku Jaafar Ku Shaari memberitahu pemberita bahawa Malaysia dan Brunei menjalin hubungan yang amat baik.

“Kedua-dua pemimpin dijangka saling memberi taklimat mengenai pembangunan di negara masing-masing dan memperbaharui hubungan persahabatan itu,” katanya, sambil menambah kedua-dua pemimpin juga dijangka meneroka bidang baru kerjasama, termasuk dalam perdagangan dan pelaburan.

Pelabur Brunei, katanya kini mengintai peluang pelaburan di Malaysia, terutamanya di Koridor Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak, yang berjiran dengannya.

Esok, Najib akan bersarapan pagi bersama masyarakat Malaysia di sini sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Sumber : Bernama

Leave a Reply