News_archive

Najib Pulang Dari Lawatan Rasmi Ke Indonesia

PETALING JAYA, 24 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak yang melakukan lawatan rasmi pertamanya sebagai Perdana Menteri ke Indonesia mulai Rabu lepas, selamat tiba di tanah air awal Jumaat.

Pesawat khas membawa Najib yang ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Subang dekat sini pada 1.03 pagi.

Kepulangan Najib disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Dalam pertemuan antara Najib dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Merdeka, Jakarta, dua persetujuan baru dicapai iaitu kerjasama dalam bidang industri pertahanan dan tawaran Indonesia kepada Petronas untuk mengambil bahagian dalam projek minyak serta gas di Perairan Natuna.

Najib pula menawarkan kerjasama dalam bidang elektrik dengan memanfaatkan bekalan tenaga yang dihasilkan oleh Malaysia dalam Projek Hidro-Elektrik Bakun di Sarawak untuk mencukupkan keperluan bekalan elektrik di Kalimantan dan penyaluran elektrik itu ke semenanjung Malaysia yang juga akan melalui kabel dasar laut merentasi perairan Indonesia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply