News_archive

Najib ingin fahami aspirasi semua

 

PETALING JAYA 31 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak yang bakal dilantik sebagai Perdana Menteri sedikit masa lagi berharap untuk memahami aspirasi dan cita rasa semua komuniti dan kumpulan etnik di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, matlamat itu akan dicapai oleh beliau dengan menjalin hubungan baik dengan penerbit akhbar utama di Malaysia.
‘‘Saya fikir adalah penting kepada saya untuk meneruskan hubungan kerjasama dengan akhbar-akhbar utama dan hari ini dengan Kumpulan Sin Chew Daily.
‘‘Ini akan membolehkan saya berada di kedudukan terbaik untuk menghargai aspirasi dan kehendak masyarakat Cina, perkara yang kaum ini ambil berat dan apa yang mereka harapkan daripada saya pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan selama lebih sejam ke ibu pejabat Kumpulan Sin Chew Daily di sini hari ini.
Menurut Najib, ketika lawatannya, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan pengarang-pengarang kanan kumpulan itu yang memiliki akhbar berbahasa Mandarin yang mempunyai edaran terbesar di negara ini.
‘‘Ini bagi membolehkan saya memulakan hubungan secara lebih dekat lagi dengan mereka dan saya turut mengambil kesempatan untuk menerangkan beberapa perkara termasuk konsep Satu Malaysia,” katanya.
Ketika perjumpaan itu, katanya, beliau juga telah memberi penerangan mengenai perlunya diadakan hubungan kerjasama antara kerajaan dan pihak media.
‘‘Adalah penting sebagai anggota pentadbiran, kita mempunyai hubungan yang saling memberi keuntungan dan faedah kepada kerajaan dan juga kepada pihak media,” tegasnya.
Sementara itu, ketika ditanya adakah kerajaan akan mengkaji semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 bagi membolehkan hubungan kerjasama itu dipereratkan, Najib berkata, perkara berkenaan hanya akan diumumkan selepas beliau secara rasmi menjadi Perdana Menteri.
‘‘Boleh kita bercakap mengenai perkara ini kemudian, kerana saya belum memegang jawatan (Perdana Menteri),” katanya.

 

Sumber: Utusan Online

Leave a Reply