News_archive

Najib Akan Terokai Peluang Baru Di Singapura

SINGAPURA, 20 Mei (Bernama) – Malaysia dijangkamenerokai peluang baru yang akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dengan Singapura apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan lawatan rasmi pertama beliau ke republik itu bermula Khamis.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan berkata Perdana Menteri juga dijangka menyentuh semua isu utama yang berkepentingan kepada kedua-dua negara berjiran pada mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong pada Jumaat.

Md Hussin yang memberikan taklimat kepada wakil media Malaysia menjelang lawatan Najib ke republik itu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini, Rabu, bagaimanapun enggan mengulas semasa ditanya sama ada isu kontroversi seperti projek jambatan yang telah dibatalkan yang menghubungkan Woodlands dan Johor Baharu dan kawasan pembangunan Iskandar Malaysia akan dibincangkan.

Menyatakan hubungan antara kedua-dua negara ‘amat baik, positif, mesra dan cemerlang,” Pesuruhjaya Tinggi itu yakin kerjasama antara Malaysia dan Singapura akan diperkukuhkan lagi hasil daripada lawatan Najib itu.

Selain menyemak semula hubungan dua hala, Md Nayan juga berkata lawatan ke sini merupakan sebahagian daripada lawatan lazim Perdana Menteri ke negara-negara jiran Malaysia selepas mengambil alih jawatan perdana menteri.

Ini merupakan lawatan pertama Najib selaku perdana menteri ke republik ini sejak mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, perdana menteri kelima Malaysia, pada 3 April tahun ini.

Najib yang akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, kali terakhir datang ke negara ini pada 31 Mei tahun lepas untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Dialog Shangri-La, IISS (International Institute for Strategic Studies) ke-7, di mana beliau merupakan penceramah tetap, semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Bagaimanapun, Najib telah mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan Lee di Pattaya, Thailand pada 1 April selepas mesyuarat Asean yang sepatutnya berlangsung di negara itu dibatalkan berikutan demonstrasi awam.

Singapura merupakan negara ketiga bagi lawatan suai kenal rasmi beliau selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono di Jakarta pada 22 April dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan pada 29 April.

Najib dijadual tiba di negara ini dengan menaiki kereta melalui Linkedua di Tuas selepas melakukan lawatan kerja ke Nusajaya di Johor.

Namun lawatan rasmi beliau hanya akan bermula pada Jumaat dengan majlis sambutan rasmi di Istana dan diikuti dengan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Lee.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyertai mesyuarat dua hala melibatkan delegasi pegawai tinggi daripada kedua-dua negara.

Najib juga dijadual menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan, masjid tertua di Singapura yang terletak di jalan Arab sebelum mengunjungi Presiden Singapura S.R. Nathan di Istana.

Bekas Perdana Menteri Singapura dan Menteri Kanan Goh Chok Tong yang baru pulih daripada cacar air juga akan mengunjungi Najib pada sebelah petang.

Perdana Menteri dan delegasi juga akan diraikan pada jamuan rasmi yang dihoskan oleh Lee sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada malam yang sama.

Antara menteri yang akan mengiringi Najib pada lawatan itu ialah Menteri Luar Datuk Anifah Aman, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Sumber : Bernama

Leave a Reply