News_archive

Minda Pengarang : Laman blog PM erat hubungan kerajaan, rakyat

LANGKAH Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi ruang lebih terbuka kepada rakyat untuk menyampaikan maklumat dan berkongsi pandangan ternyata boleh merapatkan lagi hubungan pemimpin tertinggi kerajaan dengan rakyat pertengahan dan bawahan pelbagai kaum. Hubungan ini amat penting bagi membolehkan pemimpin mengetahui secara langsung pandangan dan masalah pada peringkat akar umbi untuk membolehkan tindakan diambil segera. Memang benar, pandangan dan maklumat boleh diperoleh oleh Perdana Menteri dengan mudah melalui agensi yang bertanggungjawab mengumpul maklumat dan pandangan umum. Namun, dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkini, segala pandangan dan maklumat boleh diperoleh dengan lebih cepat sekiranya kita sensitif terhadap kepentingan dan keperluannya. Oleh itu, langkah Najib membuka laman blog, www.1malaysia.com.my bagi menyalurkan pandangan kepada rakyat, selain membolehkan rakyat memberi maklum balas dan pendapat kena pada masanya. Jika selama ini, hubungan pemimpin-rakyat lebih bersifat sehala, dari atas ke bawah dan rakyat hanya mendengar dan mengikut apa yang disuarakan tanpa sebarang bantahan, ia sudah berubah. Keadaan sudah bertukar dan berkat perkembangan ICT, corak hubungan berkenaan lebih terbuka dan rencam. Perkembangan ini perlu dilihat dari sudut positif untuk memantapkan sistem politik sejajar dengan perkembangan semasa, sesuai dengan tahap kemajuan pendidikan dan pemikiran rakyat di negara ini. ??Menerusi blog, Perdana Menteri dapat menyelami pandangan penduduk pelbagai kaum mengenai isu tempatan dan luar negara yang berhubung kait dengan Malaysia. Malah cara Najib memikirkan kejadian tunjuk perasaan di Pattaya, Thailand sehingga pemimpin Asean terpaksa pulang ke negara masing-masing, turut memperlihatkan beliau lebih terbuka dalam melahirkan pemikiran dan pandangan. Namun, seperti yang beliau tegaskan, kita juga berharap rakyat menggunakan saluran interaksi itu secara berhemah. Ini penting kerana sekiranya tidak digunakan dengan baik, ia gagal mencapai matlamat yang dikehendaki. Kerajaan memerlukan pandangan bernas daripada rakyat bagi memudahkannya merangka hala tuju negara untuk penduduk negara pada masa depan. Dalam pada itu, kaedah lain perlu dicari bagi membolehkan rakyat, khususnya di kawasan terpencil atau luar bandar yang masih rendah tahap penguasaan ICT, untuk berinteraksi dengan pemimpin kanan.. Hanya 30 peratus penduduk negara ini menguasai ICT dan boleh berhubung terus menerusi blog Perdana Menteri, manakala masih ramai memerlukan medium tradisi seperti perhimpunan atau majlis mesra rakyat. Kunjungan mengejut ke kawasan tertentu seperti yang dilakukan beliau sehari selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri baru-baru ini, perlu diteruskan bagi membolehkan rakyat yang tidak mempunyai kemudahan ICT menyalurkan terus masalah atau pandangan kepadanya. Sikap terbuka kerajaan ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menjadikan negara kita terus mampu mencapai kemajuan cemerlang dalam segala segi.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply