Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Masih Ada Ruang Untuk Anggota Parlimen BN Tingkat Peranan, Kata Najib - Najib Razak
News_archive

Masih Ada Ruang Untuk Anggota Parlimen BN Tingkat Peranan, Kata Najib

Sorry this entry isn’t available in the selected language

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau secara umumnya berpuas hati dengan input hasil pertemuan dengan Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Sabtu tetapi masih ada ruang untuk mereka meningkatkan peranan dan perkhidmatan bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Perdana Menteri berkata beliau mendapati sebahagian masalah yang timbul berada di luar daripada kemampuan wakil-wakil rakyat berkenaan untuk menyelesaikannya.

“Inilah tujuan sebenar (pertemuan ini) kerana berdasarkan kepada ungkapan kita iaitu BN mendahulukan rakyat.

“Mereka yang berfungsi dan berperanan sebagai MP (Anggota Parlimen) perlukan sokongan daripada Kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri untuk membolehkan mereka membawa masalah rakyat kepada pucuk pimpinan dan kerajaan dan di mana kita boleh bantu selesaikannya supaya mereka lebih berkesan (dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat),” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Anggota Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata 105 daripada 112 Anggota Parlimen BN yang dijemput termasuk timbalan menteri hadir pada pertemuan itu.

“Ini merupakan jumlah kehadiran yang sangat baik, yang tak hadir pun dah tulis surat beri sebab. Kita tak jemput menteri kerana menteri ada masa (lain) untuk berjumpa (dengan saya) secara berasingan,” katanya.

Najib berkata pertemuan hari ini adalah satu kaedah di mana beliau dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dapat bertemu dengan para Anggota Parlimen BN untuk mengetahui apakah permasalahan di kawasan mereka supaya wakil-wakil rakyat berkenaan dapat berkhidmat dengan lebih berkesan.

Program yang bermula sejak pukul 9.30 pagi hingga kira-kira 5.30 petang itu berjalan begitu baik dan ia amat berguna untuk beliau mendapat perspektif dan kedudukan keadaan Parlimen yang diwakili BN, kata Perdana Menteri.

Ditanya sama ada pertemuan itu boleh diambil kira sebagai satu petanda bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi, Najib berkata pertemuan ini adalah sebahagian daripada proses transformasi politik yang telah dimulakan.

“Kita ambil keputusan (ini) di mana saya umumkan dalam sejak Perhimpunan Agung UMNO, kita akan lancarkan program yang berbentuk transformasi politik… bagi menunjukkan kesungguhan kepimpinan BN daripada peringkat tertinggi sampailah ke peringkat akar umbi dengan pelbagai kaedah dan program,” katanya.

Sebelum ini, katanya proses transformasi politik sudah bermula dengan pindaan perlembagaan Umno, kursus, Konvensyen BN, pindaan perlembagaan BN dan terkini pertemuan ini.

Najib berkata proses transformasi politik penting untuk menampilkan BN sebagai parti yang mendahulukan rakyat.

“(Pertemuan) ini lebih untuk saya dengar apa hasrat, masalah dan rintihan rakyat dan bagaimana saya nak bantu selesaikan masalah rakyat yang dibawa oleh Anggota Parlimen,” katanya.

Menjawab satu soalan, Najib berkata, beliau juga akan bertemu dengan ketua-ketua bahagian di kawasan Parlimen yang tidak diwakili oleh BN, kelak.

Ditanya sama ada pertemuan ini sebagai satu langkah menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk Anggota Parlimen BN, Najib berkata: “Saya tidak menetapkan secara khusus daripada segi KPI, tapi kita ada cara dan kaedah mengukuhkan strategi setiap Anggota Parlimen, dan ini kita jadikan asas sebelum kita membuat pertimbangan, apabila sampai masanya.”

Sumber : Bernama

Leave a Reply