News_archive

Malaysia Berminat Kaji Kepakaran Korea Selatan Dalam Teknologi Nuklear

Sorry this entry isn’t available in the selected language

PUTRAJAYA, 10 Dis (Bernama) — Malaysia berminat mengkaji kepimpinan mendalam Korea Selatan dalam teknologi nuklear, termasuk reaktor nuklear pintar atau reaktor nuklear berskala kecil,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tindakan susulan perlu dilakukan, dan oleh itu kami mencadangkan penubuhan Majlis Perniagaan Malaysia-Korea Selatan supaya sektor swasta kedua-dua negara boleh meneroka dan berbincang cara dan kaedah untuk meningkatkan usaha sama antara mereka,” kata Najib pada sidang media bersama Presiden Korea Selatan Lee Myung-Bak, di sini.

Malaysia juga sedang mengenal pasti kekuatan yang dimiliki oleh syarikat Korea Selatan dalam teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, selain teknologi altenatif, katanya.

Kedua-dua negara memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) lewat tahun lepas mengenai Pertukaran Kerjasama dan Maklumat Teknikal dan Keselamatan Nuklear dan Radiasi.

Pada mesyuarat dua hala awal pada Jumaat, kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan bahawa tenaga nuklear boleh memain peranan penting sebagai sumber tenaga selamat, berkekalan dan kurang pencemaran.

Lee dan Najib juga bersetuju meningkatkan kerjasama penggunaan tenaga nuklear untuk tujuan keamanan seperti yang dipersetujui pada MoU 2009.

“Apabila kita bercakap mengenai teknologi Korea dan industrinya, kami juga berbincang mengenai beberapa pihak yang mempertikaikan keselamatan teknologi nuklear,” kata Lee.

Lee, yang kali pertama melawat Putrajaya, berkata beliau berpeluang menjelaskan kepada Najib, apabila beliau melawat Korea kelak, bahawa beliau (Najib) akan melihat sendiri betapa teknologi nuklear selamat dan boleh dipercayai.

“Ramai orang di seluruh dunia bimbang sama ada selamat untuk tinggal dekat dan sekitar reaktor nuklear memandangkan di Korea ramai penduduknya tinggal dan bekerja di sekitar reaktor nuklear.

“Dan apa yang perlu dilakukan untuk menyimpan sisa nuklear dengan selamat … saya turut menjelaskan kepada Perdana Menteri, jika beliau melawat Korea, Korea boleh menjadi model kepada pihak lain yang bimbang kerana kami memiliki antara teknologi terbaik di dunia, bukan sahaja dalam operasi nuklear, malah simpanan sisa nuklear yang selamat.”

Lee juga berkata ketika dunia sedang mengenal pasti cara untuk menangani perubahan iklim, “kami bercakap mengenai bagaimana tenaga nuklear akan menjadi tenaga selamat pada masa akan datang yang akan membantu kita, bukan sahaja untuk meningkatkan kecekapan dalam memenuhi keperluan tenaga, malah membantu kami menangani perubahan iklim.”

Lee, yang menggunakan khidmat penterjemah, berkata: “Tanggapan berhubung tenaga nuklear oleh dunia hari ini sudah berubah. Saya mengambil peluang hari ini untuk memberitahu rakyat Malaysia, khususnya mereka yang mungkin bimbang mengenai keselamatan dan kebolehpercayaan terhadap tenaga nuklear, bahawa (tidak ada sebab untuk berbuat demikian)…. lihat Korea. Kami akan bekerjasama dengan rakan-rakan di Malaysia.”

Lawatan dua hari Presiden Korea Selatan itu bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara negara itu dan Malaysia.

Sumber : Bernama

Leave a Reply