Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Majlis Perasmian Menara Hasil - Najib Razak
Speeches

Majlis Perasmian Menara Hasil

Sorry this entry isn’t available in the selected language

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia.

Yang Berhormat Dato’ Sri Ahmad Husni bin Hj. Mohamad Hanadzlah;

Menteri Kewangan II,

Yang Berhormat Dato’ Dr. Awang Adek bin Hussin;

Timbalan Menteri Kewangan,

Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz bin Wan Abdullah;

Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap

Pengerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia,

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Mohd Shukor bin Haji Mahfar;

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia,

Dif-dif kehormat,

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

    1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan rahmat dan limpah kurniaNya jua, kita diberi keizinan untuk bersama-sama berkumpul, pada pagi ini bagi meraikan Majlis Perasmian Menara Hasil Cyberjaya, yang menempatkan IbuPejabat LHDNM yang baharu.
    2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Menara Hasil pada pagi ini.
    3. Kebetulan pada hari ini juga, seluruh warga Hasil turut menyambut hari ulang tahun penubuhannya yang ke-16, semenjak ia dilembagakan daripada sebuah Jabatan, pada 1 Mac 1996 yang lalu.  Tahniah saya ucapkan.
    4. Untuk itu, saya pasti hari ini adalah hari yang sangat bermakna buat diri tuan-tuan dan puan-puan dan semestinya, saya turut berasa bangga kerana dapat kita bersama-sama untuk meraikannya.
    5. Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada LHDNM, di atas pemilikan sebuah ibupejabat milik sendiri, yang berlokasi di Cyberjaya ini.
    6. Saya yakin, bangunan baharu ini, dengan prasarananya yang lebih sempurna dan lengkap, berbanding bangunan lama di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Duta sebelum ini, akan membentuk persekitaran kerja yang lebih selesa dan kondusif.
    7. Saya kira bangunan baharu ini bukan sahaja akan berdiri sebagai mercu tanda di Cyberjaya malahan ia juga merupakan lambang kepada kejayaan LHDNM sejak dilembagakan lebih 16 tahun yang lalu. Sudah pasti secara tidak langsung ia akan meningkatkan lagi imej korporat LHDNM, terutamanya dalam konteks memudahkan masyarakat sekeliling melaksanakan urusan-urusan percukaian mereka selain memberi kesan positif terhadap warga kerjanya, untuk berusaha dengan lebih gigih lagi, bagi meningkatkan jumlah kutipan cukai langsung negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

    1. Kebetulan juga dengan pelancaran tahunan Bulan Perkhidmatan Pembayaran Cukai (BPPC) yang bermula pada hari ini, suka saya menyentuh sedikit berkenaan dengan tanggungjawab kita semua sebagai pembayar cukai.
    2. Masyarakat perlu sedar bahawa tanggungjawab untuk membayar cukai adalah wajib bagi semua yang berada dalam “tax bracket” kutipan. Tanggungjawab ini amat penting dan harus dipikul bersama untuk kita membina masa depan negara. Harus kita ingat, satu ringgit yang dibelanjakan untuk membayar cukai mungkin mampu menyediakan ubat-ubatan, mesin dialisis, sekolah atau jalan raya kepada yang amat memerlukannya. Ingatlah, kesusahan orang lain mungkin berpunca dari sikap ketidakbertanggungjawaban kita.
    3. Kejayaan, keamanan, keselesaan, kesihatan malah kualiti pendidikan negara kita, yang kita kecapi pada hari ini tidak mungkin dapat dinikmati bersama jika sekiranya sebahagian dari kita tidak mahu membayar cukai. Ianya juga adalah hasil dari kejujuran Kerajaan Barisan Nasional yang sentiasa memastikan polisi-polisi percukaian berlaku adil kepada rakyat. Kerajaan juga sentiasa memastikan pengujudan tahap profesionalisma yang tinggi dalam menguruskan kutipan serta perbelanjaan hasil melalui agensinya LHDNM. Jauh dari membebankan rakyat teramai, Kerajaan memastikan ianya memberikan keuntungan kepada rakyat yang amat-amat memerlukan pulangan hasil tersebut.
    4. Cuba kita bayangkan seketika, jika sekiranya negara kita berada di dalam ketidaktentuan atau keadaan yang tidak aman seperti beberapa negara lain di dunia. Sememangnya kita harus bersyukur dengan apa yang telah dianugerahkan kepada negara kita.
    5. Hari ini kita dapat lihat, dapat sentuh, dapat merasai sendiri hasil dari kutipan hasil yang jujur dan cekap Kerajaan yang telah melakukannya sejak merdeka. Kerajaan kita pada hari ini mampu memberikan pulangan tersebut terus kepada rakyat kerana kita mampu melakukannya. Rakyat telah mula menikmati Kedai Rakyat 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia, Perumahan Rakyat 1Malaysia dan bermacam-macam lagi. Malah, Kerajaan mampu menyediakan bantuan yang spesifik kepada golongan sasar yang memerlukan. Ini semua tidak mampu dilakukan sekiranya Kerajaan tidak jujur dan negara kita kucar kacir.
    6. Kita tidak dapat melihat pulangan secara serta-merta ke atas setiap ringgit yang dibayar, akan tetapi kita pasti dapat merasai nikmatnya melalui keamanan, kemakmuran serta pengurangan kos-kos perkhidmatan yang diberikan oleh Kerajaan seperti kesihatan, pendidikan, pembangunan fizikal dan kemasyarakatan dan sebagainya.
    7. Sebagai contoh, dalam usaha meringankan bebanan yang ditanggung oleh rakyat, salah satu langkah yang mampu diambil oleh Kerajaan Barisan Nasional dalam berkongsi kemakmuran negara adalah melalui program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Anggaran peruntukan sebanyak RM2.6 bilion kepada seramai 5.2 juta isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3000 sebulan, jelas menunjukkan betapa bertanggungjawabnya Kerajaan terhadap masalah rakyat, dalam menampung kos sara hidup yang tinggi. Dalam hal ini, Kerajaan telah memilih LHDNM sebagai agen pelaksana kepada proses pendaftaran penerima program BR1M ini. Setakat ini, lebih 3.7 juta yang telah dikenal pasti layak untuk menerima bantuan dan lebih 24,000 permohonan yang masih di dalam proses verifikasi. Tahniah kepada seluruh warga Hasil yang telah menjalankan tugas dengan penuh dedikasi.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

    1. Cukai langsung merupakan sumber pendapatan utama negara, yang digunakan untuk pelbagai program pembangunan negara. Tanpa cukai, mana mungkin agenda pembangunan negara dapat diteruskan, mana mungkin golongan cerdik pandai dapat dilahirkan, mana mungkin kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakyat negara-negara maju yang lain.
    2. Pada masa yang sama, sistem cukai juga dilihat sebagai alat dalam strategi pembangunan, bagi menarik pelabur tempatan dan juga pelabur asing. Walaupun insentif cukai bukanlah satu-satunya faktor penentu untuk tujuan pelaburan, ia secara tidak langsung turut memainkan peranan, dalam mempengaruhi keputusan sesebuah perniagaan untuk melabur atau tidak.
    3. Saya juga ingin menyentuh peranan LHDNM sebagai sebuah agensi Kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir cukai langsung negara. LHDNM perlu terus mendokong matlamat ini dan perlu berkembang mengikut perkembangan semasa, aspirasi negara serta selaras dengan landskap politik, budaya dan teknologi.
    4. Pendekatan pemungutan kaedah terdahulu dan sedia ada berbanding dengan kehendak masyarakat masa kini, memerlukan LHDNM lebih berinovasi, yang mana rakyat mahu dihampiri. Memahami keperluan dan kemahuan pembayar cukai dengan mengambil pendekatan customer friendly boleh menjadi kunci kepada pertambahan kutipan hasil negara.
    5. Bidang tanggungjawab LHDNM adalah luas, dan tugasan ini semakin rumit selaras dengan pelbagai inovasi dalam kaedah pelaksanaan perniagaan, perkembangan teknologi maklumat dan globalisasi. LHDNM perlu melakukan perubahan tidak kira sama ada dari sudut teknikal, amalan kerja yang efisien dan efektif, anjakan budaya kerja serta operasi berasaskan pengurusan risiko dalam fokus kerjanya.
    6. Setiap pembayar cukai perlu membayar cukai yang sepatutnya mengikut undang-undang dan peraturan. Apabila pembayar cukai menunaikan tanggungjawab mereka dengan jujur, mereka harus dilayan dan dibantu dengan sewajarnya. Walaubagaimanapun, masih terdapat pengelak-pengelak cukai yang tidak bertanggungjawab, turut menikmati faedah-faedah yang ditawarkan dalam ekonomi seperti mana dinikmati oleh golongan yang membayar cukai dengan jujur.
    7. Oleh yang demikian, LHDNM perlu meneruskan langkah dan mencari cara yang paling efektif untuk mengatasi masalah ketirisan cukai sebelum mencapai tahap kritikal. Tahap “awareness” atau kesedaran pematuhan di kalangan pembayar cukai haruslah dipertingkatkan, sama ada melalui aktiviti berkempen, pendidikan cukai mahupun melalui penguatkuasaan perundangan cukai.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

    1. LHDNM dalam melaksanakan melaksanakan fungsinya dengan cekap, sentiasa meletakkan sasaran bagi mencapai matlamat keseluruhannya. Ini jelas terbukti apabila LHDNM berjaya membuat kutipan cukai sebanyak RM109.674 bilion, pada tahun 2011. Peningkatan sebanyak RM 23.175 bilion atau 26.79 peratus lebih tinggi daripada jumlah kutipan cukai pada tahun 2010 di mana antara kutipan cukai terbesar datangnya daripada cukai individu, syarikat serta petroleum. Untuk itu, setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan kepada seluruh warga Hasil.
    2. Saya pasti, ada faktor motivasi positif yang mendorong warga Hasil sehingga berjaya mencetuskan kejayaan yang saya anggap sebagai luar biasa ini. Ini kerana, saya percaya kejayaan seperti ini, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai, tanpa usaha bersepadu dari peringkat pengurusan tertinggi LHDNM, sehinggalah kepada kumpulan pelaksana dalam organisasi ini. Inilah seharusnya dijadikan contoh kepada seluruh jentera pentadbiran Kerajaan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

    1. Pemungutan cukai pendapatan negara yang efektif dan berjaya dengan jelas telah dapat membantu Kerajaan mewujudkan kedudukan fiskal yang mampan dalam meniti hala tuju negara. Lebihan cukai pendapatan yang dikutip berbanding dengan sasaran yang ditetapkan secara tidak langsung membantu mengurangkan jumlah hutang negara.
    2. Lebihan kutipan cukai yang berjaya dipungut ini amatlah kritikal memandangkan sekiranya usaha-usaha untuk mengurangkan bebanan hutang awam tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan maka sudah pasti ia akan membantutkan usaha-usaha Kerajaan untuk membangunkan negara. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat memahami tujuan cukai ini dilaksanakan oleh Kerajaan dan tidak seharusnya menganggap ia sebagai satu bebanan kepada rakyat.
    3. Saya difahamkan bahawa LHDNM kini berusaha untuk lebih kreatif dan inovatif dalam pentadbiran cukai berdasarkan strategi penerokaan lautan biru (blue ocean strategy) untuk mengenalpasti ruang-ruang baru pembesaran asas cukai dan mengurangkan ketirisan cukai. Inisiatif seperti ini hendaklah diteruskan, termasuklah usaha LHDNM mengkaji semula aspek-aspek perundangan cukai, bukan sahaja di dalam negara, bahkan di peringkat antarabangsa. Isu-isu percukaian berkaitan dengan pindahan harga atau transfer pricing haruslah ditangani dengan cepat dan efektif agar hasil negara kekal di dalam negara, dan pada masa yang sama, tidak membebankan syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

    1. Saya bangga melihat pelbagai penambahbaikan, yang telah dilakukan oleh LHDNM, sejak kebelakangan ini. Peluang yang diberikan kepada masyarakat melalui saluran idea_desire@hasil.gov.my adalah merupakan pendekatan terbaik memberi ruang dan peluang kepada seluruh masyarakat untuk bersama-sama menambahbaik jentera pentadbiran Kerajaan, khususnya dalam aspek pengurusan dan pentadbiran cukai negara.
    2. Pada hari ini, saya difahamkan bahawa satu lagi inisiatif yang akan turut diperkenalkan oleh LHDNM iaitu ez-Hasil, yang sebelum ini dikenali sebagai e-Perkhidmatan yang merangkumkan semua perkhidmatan elektronik LHDNM dan yang terbarunya  m-Filing. m-Filing merupakan aplikasi mobile yang menyediakan perkhidmatan pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan Individu dan ianya lebih berinovatif kepada pembayar cukai.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

    1. Kejayaan untuk membangunkan negara ini menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, tidak akan dapat dikecapi tanpa melaksanakan transformasi seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Rancangan Malaysia ke-10, Program Transformasi Politik dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang berteraskan kepada prinsip 1Malaysia.
    2. Segala bentuk transformasi yang telah dilakar, semua bentuk penambahbaikan dan pembangunan, tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya kemajuan ekonomi dan kestabilan kewangan tidak dicapai.
    3. Melihat kepada pencapaian LHDNM yang lepas, saya yakin LHDNM tidak akan menghampakan Kerajaan dalam mencapai sasaran kutipan hasil bagi tahun 2012.
    4. Akhir kata, semoga pemilikan bangunan baharu Ibu Pejabat, LHDNM di Cyberjaya ini akan menjadi pencetus kepada seluruh warga Hasil, untuk berusaha dengan gigih tanpa mengenal erti penat dan lelah, dalam usaha merealisasikan wawasan unggul, untuk menjadikan negara ini sebuah negara maju, berpendapatan tinggi menjelang 2020.
    5. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan bangunan ibupejabat LHDNM yang baharu Menara Hasil, Cyberjaya dan seterusnya melancarkan Bulan Perkhidmatan Pembayar Cukai (BPPC).

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Leave a Reply