Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
LID strategi jangka panjang - Najib Razak
News_archive

LID strategi jangka panjang

Sorry this entry isn’t available in the selected language

PUTRAJAYA: Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) masih relevan kerana ia memberi peluang kepada pemimpin Afrika, Malaysia dan Kepulauan Carribean berkongsi pengalaman serta pandangan bagi memajukan negara masing-masing.
Bagaimanapun, Datuk Seri Najib Razak, berkata pelbagai pendekatan baru perlu diperkenalkan seperti Forum Perniagaan Malaysia-Afrika yang dianjurkan bersempena dengan LID 2011.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menggalakkan negara terbabit untuk menjadikan LID sebagai medan perbincangan pelbagai isu lain, yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara mereka.

“Sejak dianjurkan, LID mendapat sambutan menggalakkan daripada negara Afrika dan Kepulauan Carribean, kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk menjalin perkongsian pintar dengan negara terbabit serta Malaysia.

“Justeru, Malaysia yakin bahawa LID akan terus relevan bagi memenuhi keperluan negara peserta,” katanya kepada sidang media di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu dialog antarabangsa yang dihoskan oleh Najib di Putrajaya mulai 19 Jun hingga 21 Jun itu dihentikan.
Khairy dalam akaun Twitternya dilaporkan menulis “Robert Mugabe tiba di Malaysia. Apa yang kita dapat dengan menjemput pemimpin macam dia? Dah (Sudah) lama dah… patut berhenti dialog cam (macam) ni.”

Dalam pada itu, Najib berkata, LID juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menjalin hubungan rapat dengan pemimpin negara Afrika.

Secara tidak langsung, katanya, ia memberi imej yang baik kepada Malaysia sekali gus memberi kelebihan kepada kepentingan ekonomi dan strategik negara ini.

Mengulas mengenai format penganjuran LID, Najib menjelaskan format sedia ada akan terus dikekalkan kerana pembabitan lebih banyak negara termasuk dari rantau Asia Tenggara akan menyukarkan proses penganjuran.

“Kita (Malaysia) tidak mahu terlalu banyak negara terbabit dengan LID kerana pengurusannya akan lebih kompleks terutamanya jika semua pemimpin negara Afrika dan Kepulauan Carribean menghadirinya.

“Jadi, kita akan kekalkan format sedia ada,” katanya.

LID kali ini turut merangkumi program seperti Forum Perniagaan Malaysia-Afrika, yang dilihat ‘tertinggal’ dalam semua LID sebelum ini, di samping “Dialog Tempat Lawatan”, di mana semua peserta akan terbabit dalam lawatan dan bengkel di pelbagai venue seperti Proton, SIRIM dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) supaya mereka dapat mengembangkan rangkaian kerja di kalangan pakar.

Selain perdagangan, institusi-institusi pendidikan Malaysia turut mendapat banyak manfaat daripada Afrika, dengan jumlah pelajar yang belajar di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan meningkat dalam jumlah yang amat ketara.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pengasas LID ketika ditemui selepas majlis perasmian itu, berkata beliau tidak terganggu dengan pandangan sebegitu.

“Orang ramai mempunyai pandangan berbeza, mereka berhak mempunyai pendapat sendiri, setiap orang berhak memiliki pandangan sendiri,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply