Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Kerjasama rakyat jayakan 1Malaysia - Najib Razak
News_archive

Kerjasama rakyat jayakan 1Malaysia

KONSEP 1Malaysia yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berprinsipkan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ bukan saja menarik perhatian rakyat Malaysia, malah juga rakyat luar negara.

Contohnya, penulis ditanya mengenai konsep 1Malaysia oleh sekumpulan profesor dari Indonesia sempena Konvensyen Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama) baru-baru ini.

Pertanyaan mengenai konsep 1Malaysia dilanjutkan kepada satu perbincangan yang sangat menarik menjangkau konsep ilmiah dalam disiplin ilmu kaunseling dan sosiologi. Sambil menyetujui dan mendapati konsep 1Malaysia itu sangat menarik dan unik, rakan penulis dari Indonesia itu menjelaskan bahawa dalam menjayakan konsep 1Malaysia, apa yang paling penting ialah rakyat perlu bermula dengan melihat kepada titik persamaan yang dapat mengikat rakyat daripada pelbagai kaum dan etnik itu.

Menghormati kepelbagaian dalam budaya lain amat relevan dalam dunia yang tanpa sempadan ini, apatah lagi dalam negara berbilang kaum. Dalam disiplin ilmu, menghormati budaya lain sudah menjadi satu yang amat dititikberatkan. Contohnya, kaunseling pelbagai budaya amat mementingkan konsep menghormati dan memahami elemen perbezaan dalam budaya yang pelbagai.

Dalam kaunseling, kaunselor perlu memahami keunikan dalam budaya klien. Kegagalan memahami budaya klien menyebabkan kaunselor tidak dapat berasa empati terhadap diri klien. Begitu juga, dalam menjayakan 1Malaysia, adalah penting bagi setiap kaum menghormati identiti dan keunikan kaum lain tanpa mengorbankan keunikan dan keistimewaan budaya sendiri.

Dalam perbincangan penulis dengan kumpulan profesor itu, penulis bersetuju bahawa konsep 1Malaysia dapat direalisasikan jika rakyat Malaysia bersatu hati dan berpadu tenaga menjayakan. Di samping itu, semua rakyat perlu menyedari bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar dan perlu terus bersatu dan perlu mensyukuri rahmat sebagai rakyat Malaysia.

Kekuatan negara banyak bergantung kepada elemen kemurnian yang menyatukan mereka. Kita tidak mahu ada rakyat Malaysia yang suka mendedahkan keburukan negara kepada dunia luar. Ada juga antara mereka di luar negara terlalu mengagungkan apa yang ada di negara luar, terutama Barat tanpa melihat keunikan dan keistimewaan negara sendiri.

Setiap budaya mempunyai kekuatan dan nilai murni tersendiri. Kita tidak perlu melihat kelemahan nilai budaya orang lain daripada kacamata budaya sendiri.

Merealisasikan 1Malaysia juga memerlukan faktor yang dapat mengikat rakyatnya. Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan, penubuhan Barisan Nasional (BN) adalah antara elemen pengikat ke arah menjayakan 1Malaysia.

Seperti mana kata Najib, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru, sebaliknya matlamat akhir konsep 1Malaysia, iaitu perpaduan nasional menjadi wawasan utama pemerintah terdahulu yang diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad lalu.

Diharap ini antara yang dapat dilakukan dalam usaha merealisasikan gagasan 1Malaysia ialah menghormati kepelbagaian budaya lain, di samping meningkatkan identiti jati diri budaya sendiri.

DR SAPORA SIPON,
Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama).

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply