News_archive

Kerajaan Perluas Kedai Rakyat 1Malaysia Dalam Masa Terdekat – Ismail Sabri

Sorry this entry isn’t available in the selected language

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Kerajaan akan memperluaskan cawangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) secara berperingkat-peringkat bermula dengan Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya kini bukan sahaja sedang mengenal pasti lokasi-lokasi yang bersesuaian malahan turut memberi fokus untuk mewujudkan rak khas bagi memastikan produk 1Malaysia dijual di kawasan flat.

“Kita tengah mencari lokasi tetapi kita juga sedang mengumpulkan maklumat mengenai kedai-kedai yang boleh menjual produk 1Malaysia. Tidak semestinya kita buka kedai baru.

“Sekarang kita tengah kumpulkan kedai di Wilayah Persekutuan dulu, mungkin di flat-flat. Kita mungkin wujudkan satu rak khas untuk menjual produk 1Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Pra-Pelancaran Bulan Pengguna Kebangsaan 2011 di KL Sentral, di sini, pada Khamis.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian (Kepenggunaan dan Pengurusan) Mahani Tan Abdullah.

Bulan Pengguna Kebangsaan 2011 selama sebulan bermula 1 Julai ini melibatkan yang melibatkan 251 program di peringkat pusat dan negeri. Acara kemuncak sambutan adalah Bulan Pengguna Kebangsaan pada 23 dan 24 Julai ini di Manjung, Perak.

Tahun ini merupakan tahun kedua sambutan Bulan Pengguna selama sebulan sejak ia diperkenalkan pada 2001. Tema sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan pada tahun ini ialah “Hak Pengguna Tanggungjawab Anda”.

Kedai Rakyat 1Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Jun lepas di Stesen LRT Kelana Jaya. Kedai berkenaan yang diuruskan oleh Mydin Mohamed Holdings Berhad dengan kerjasama kerajaan menawarkan lebih 250 barangan keperluan harian pada harga yang berpatutan.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata penyelarasan caj yang dilakukan oleh Astro bukan berada di bawah tanggungjawab beliau tetapi berada di bawah kuasa Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Justeru itu, beliau berkata pihaknya hanya boleh memberi nasihat kepada pengguna di negara ini kerana mereka mempunyai kuasa untuk membuat pilihan dalam memilih sesuatu produk dan perkhidmatan.

“Kita tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan mengikut kuasa kementerian lain. Kita masih ada pilihan, ada pakej (Astro) murah dan ada mahal, jadi pengguna ada pilihan,” katanya sambil menambah Astro tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau turut berkata pihaknya tidak menghalang mana-mana persatuan pengguna di negara ini sekiranya mereka ingin memboikot menentang penyelarasan caj berkenaan.

Astro baru-baru ini mengumumkan akan melakukan pelarasan terhadap pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai ini, dengan harga langganan diselaraskan bergantung kepada pakej pilihan pelanggan.

Sesetengah pelanggan mungkin mengalami kenaikan sekitar RM1 hingga RM15 sebulan manakala yang lain pula akan menikmati penjimatan RM4 hingga RM14.95 sebulan.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ismail Sabri berkata kajian yang dijalankan oleh kementeriannya mendapati tahap kesedaran pengguna masih rendah di negara ini.

“Ini kerana sebahagian besar pengguna mengetahui hak mereka tetapi mereka sering lupa atau lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengguna,” katanya.

Beliau berkata peredaran masa dan kemajuan teknologi telah mendedahkan pengguna kepada pelbagai cabaran termasuklah transaksi perniagaan dalam talian yang semakin berkembang.

Sumber : Bernama

Leave a Reply