Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Kedudukan Bukan Jaminan Terlepas Daripada Tindakan Undang-undang - PM - Najib Razak
News_archive

Kedudukan Bukan Jaminan Terlepas Daripada Tindakan Undang-undang – PM

Sorry this entry isn’t available in the selected language

PUTRAJAYA, 9 Dis (Bernama) — Kedudukan seseorang itu sama ada dari segi jawatan atau martabatnya, bukan satu jaminan bahawa tindakan undang-undang tidak boleh diambil terhadapnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini adalah satu kenyataan yang harus diterima dan sebagai rakyat biasa, semua orang adalah tertakluk kepada proses perundangan dalam negara.

“Semua orang adalah tertakluk kepada undang-undang negara dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bebas untuk membuat siasatan terhadap sesiapa sekalipun,” katanya kepada pemberita, Khamis.

Beliau berkata demikian selepas majlis Menandatangani Ikrar Memerangi Rasuah oleh Masyarakat Peniaga anjuran SPRM, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dalam operasi SPRM dan ia adalah bebas untuk menjalankan siasatan ke atas mana-mana pihak.

Beliau berkata SPRM adalah sebuah badan yang profesional yang tahu melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya.

“Tidak timbul soal ‘menyembunyikan’ sesuatu kes kerana SPRM perlu memberikan penjelasan kepada Lembaga Penilaian Operasi bagi aduan yang tidak diambil tindakan,” katanya.

Katanya terdapat pihak yang suka melemparkan tuduhan atau gosip liar dan mempolitikkan isu rasuah yang merumitkan lagi persepsi terhadap usaha kerajaan untuk memerangi rasuah.

“Saya harap mereka tidak meneruskan perilaku ini kerana yang lebih konstruktif ialah untuk membantu pihak SPRM, dan bukan melemparkan tohmahan atau tuduhan,” katanya.

Kepada mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan, Najib berharap tidak ada tanggapan bahawa untuk berjaya seperti mendapatkan kontrak atau konsesi daripada kerajaan, mereka perlu melakukan amalan rasuah.

“Saya ingin menasihati mereka supaya tidak mengamalkan amalan seperti ini dan anggap bahawa untuk mendapatkan sesuatu kontrak atau tender atau konsesi, mereka perlu mengemukakan tawaran yang terbaik.

“Berdasarkan kepada merit, maka mereka seharusnya berasakan mereka mempunyai peluang untuk mendapatkan sesuatu kontrak atau konsesi daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata bagi pihak kerajaan, tatacara perolehan kerajaan juga perlu semakin telus, terbuka dan objektif dalam penilaiannya dalam usaha mencegah rasuah.

“Misalnya, proses penilaian tender daripada peringkat awal seperti mengeluarkan iklan tender secara terbuka, menentukan spesifikasinya, tidak memihak kepada mana-mana pihak, proses penilaian amat objektif dan tidak memihak kepada peniaga tertentu, dan keputusan pada akhirnya berdasarkan kepada tawaran yang terbaik daripada segi kewangan dan keperluan teknikalnya,” katanya.

Sementara itu, Najib berkata berdasarkan laporan Doing Business 2011 oleh Bank Dunia, Malaysia adalah negara ke-21 paling mudah untuk berurus niaga di peringkat global, meningkat daripada kedudukan ke-23 dalam laporan 2010.

Menurut World Competitiveness Scoreboard 2010 pula, Malaysia adalah negara ke-10 paling berdaya saing di dunia, meningkat daripada tangga ke-18 pada tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, katanya usaha perlu diteruskan agar kedudukan negara terutama daripada segi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) berada dalam kedudukan yang lebih baik lagi.

Sumber : Bernama

Leave a Reply