News_archive

Hargai pengajaran ayah: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat Malaysia untuk terus menunjukkan penghargaan dan memahami pengajaran yang disampaikan oleh bapa masing-masing.

Sambil mengucapkan Selamat Hari Bapa menerusi blognya www.1malaysia.com.my, Najib berkata, pada rakyat Malaysia yang bergelar bapa, mereka perlu terus membina jalan yang dapat dilalui dan diikuti anak masing-masing.

“Pembabitan secara aktif dan positif seorang bapa dalam kehidupan anaknya akan meningkatkan kemungkinan pembangunan diri anak untuk menjadi seorang dewasa yang berguna.

“Ia bukan mengenai pemberian hadiah mewah dan kekayaan, ia lebih kepada melengkapkan anak dengan alat, nilai dan asuhan yang betul untuk memastikan kesejahteraan selepas meninggalkan keselesaan jagaan ibu dan bapa,” katanya.

Beliau berkata, sebagai bapa, seharusnya mereka tidak lupa supaya sering mengambil tindakan proaktif dalam aktiviti anak, baik dalam aktiviti sekolah, hobi, sukan mahupun pertandingan disertai.

“Pada akhirnya, anak-anak akan menjadi warisan dan bukti sejauh mana yang kita tempuhi untuk mencapai kemakmuran dan perpaduan bagi negara ini. Merekalah yang akan menikmati hasil 1Malaysia dan memenuhi hasrat untuk menjadi sebuah negara yang maju sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, lawatannya ke China dan Kampung Pinchin di Sarawak, baru-baru ini membangkitkan kenangan betapa Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein begitu disayangi dan dihormati ramai orang.

Najib berkata, ketika merakamkan pesanan video lapan nilai 1Malaysia, beliau turut mengaitkan kenangan istimewa mengenai Tun Razak, betapa beliau kagum dengan semangat bapanya.

“Contohnya, ketika saya berada di sekolah berasrama penuh, pada waktu itu tiada telefon bimbit dan sudah tentu tiada internet. Perhubungan yang ada hanya melalui kiriman aerogram yang sering saya kirimkan ke kampung.

“Saya begitu kagum walaupun beliau seorang Perdana Menteri dan sangat sibuk, jika saya berkirim surat saya pasti mendapat balasan dalam masa seminggu atau 10 hari,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply