Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Harga minyak mentah telah naik baru-baru ini akibat ketidakstabilan politik... - Najib Razak

Harga minyak mentah telah naik baru-baru ini akibat ketidakstabilan politik…

Harga minyak mentah telah naik baru-baru ini akibat ketidakstabilan politik yang berlaku di Timur Tengah. Dalam keadaan ini, Kerajaan terpaksa mengambil keputusan dengan pantas sama ada ingin membenarkan harga minyak tempatan naik mengikut kadar pasaran seperti yang berlaku di kebanyakan negara jiran kita, atau untuk terus memberikan subsidi kepada RON 95, agar harganya kekal pada RM1.90 seliter seperti sekarang.

Saya berpegang teguh kepada prinsip bahawa kepentingan Rakyat perlu diberikan keutamaan dalam proses-proses membuat keputusan oleh Kerajaan. Kos pengangkutan merupakan sebahagian besar daripada perbelanjaan harian Rakyat, terutamanya bagi mereka yang menetap di bandar. Oleh itu tanggungjawab terletak di tangan Kerajaan untuk memperlahankan dan menguruskan kos bahan api yang semakin bertambah tanpa menjejaskan perbelanjaan lain yang sudahpun diperuntukkan bagi pembangunan.

Untuk mengekalkan RON 95 pada kadar semasanya, Kerajaan telah menambahkan lagi subsidi petrol sebanyak hampir 10%. Selain belanjawan tambahan yang telah dibentangkan oleh Kerajaan itu, Kerajaan juga perlu berusaha dengan lebih keras untuk meningkatkan pelaburan asing dan tempatan melalui Program Transformasi Ekonomi untuk mengimbangkan perbelanjaan jangka masa panjang, serta mempelbagaikan pendapatan Kerajaan.

Pada masa yang sama, ekonomi dunia juga sedang mengalami kemelesetan, yang disebabkan oleh krisis Euro Zone dan Amerika Syarikat. Adalah menjadi kewajipan bagi saya untuk mengurangkan kesan kemerosotan global sedemikian kepada rakyat Malaysia, serta pada masa yang sama mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan. Dasar-dasar subsidi petrol RON 95 sentiasa diberikan pertimbangan utama oleh Kerajaan kerana ianya menjejaskan perbelanjaan harian Rakyat.

Namun, tidak dapat dielakkan, penyelesaian jangka panjang kepada masalah kenaikan harga petrol adalah untuk mengurangkan pergantungan kepada petrol itu sendiri. Kerajaan sedang bekerja keras untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam bagi menyediakan alternatif pengangkutan awam yang lebih baik kepada pengguna-pengguna kenderaan persendirian. Bagi meningkatkan perkhidmatan KTM komuter, sehingga kini, 38 set tren komuter enam gerabak EMU yang baru telah dibeli di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Menambah Baik Pengangkutan Awam Bandar. Sistem LRT 2-Koc Kelana Jaya sudahpun ditambahbaik dengan beberapa unit-unit 4-Koc Pelbagai yang baru selain kerja-kerja pemanjangan trek yang sedang dalam proses pembinaan. Penumpang-penumpang jarak jauh juga boleh memanfaatkan perkhidmatan tren ETS dua trek yang kini menyediakan perkhidmatan perjalanan dari Seremban ke Ipoh, dan pada masa yang terdekat nanti, ke Pulau Pinang dan Perlis juga.

Pada kesimpulannya, dalam menangani isu pergantungan terhadap petrol ini, Kerajaan perlu berganding bahu dengan Rakyat. Sedang kami berusaha untuk memastikan harga minyak terus berada pada munasabah dan memperbaiki pengangkutan awam, kami juga memohon sokongan dan timbang rasa anda. Untuk itu, terima kasih saya ucapkan.



Original post: https://www.facebook.com/najibrazak/photos/a.294787430951/10150666367515952/?type=3

Leave a Reply