News_archive

Dr Mahathir, Pak Lah sokong barisan Najib

KUALA LUMPUR: Dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menganggap barisan Kabinet baru yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak memperlihatkan iltizam beliau untuk membawa negara mencapai kemajuan lebih hebat.

Dr Mahathir dalam reaksinya mengenai pengumuman barisan Kabinet itu berkata, beliau lega Najib membuat keputusan tegas dengan tidak menyenaraikan semula beberapa menteri yang sebelum ini didakwa terbabit rasuah.

“Saya rasa Najib membuat tindakan baik apabila menggugurkan mereka yang didakwa rasuah, walaupun ada satu dua yang masih terlekat (tersenarai) dalam barisan Kabinet itu. “Mengenai (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) saya fikir dia memang layak (menjadi Timbalan Perdana Menteri) kerana dapat kemenangan yang baik dan setakat saya tahu dia tidak gunakan wang untuk mendapat sokongan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Ditanya sama ada beliau yakin Najib mampu membuat perubahan berdasarkan senarai Kabinet baru itu, Dr Mahathir berkata, beliau melihat Najib memang mencuba melakukan perkara itu.

Mengenai pelantikan anaknya, Datuk Mukhriz sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Mahathir berharap anaknya itu perlu menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. “Saya harap dia akan dapat mengatasi masalah pemberian Permit Import (AP) kepada mereka yang menjual AP,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau memang gembira nama Mukhriz ada dalam senarai Kabinet tetapi menolak jika ada mana-mana pihak mendakwa beliau menggunakan pengaruhnya ke atas Najib untuk berbuat demikian.

“Saya dah kata, saya tak campur tangan dalam pelantikan dia (Mukhriz). Kalau tak lantik pun, tak apa juga,” katanya.

Mengenai indeks petunjuk prestasi (KPI) menteri dan timbalan menteri, beliau ia pendekatan baik tetapi berpendapat lebih sesuai ia hanya dinilai Timbalan Perdana Menteri dan bukannya seorang bertaraf menteri. “Tentu menteri juga rasa tak puas hati kerana dinilai menteri lain. Saya harap diberi kepada seorang yang lebih tinggi dari menteri seperti Timbalan Perdana Menteri dan mesti ada juga pakar yang boleh membuat penilaian,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pelantikan Datuk Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Menteri Kewangan Kedua boleh membantu Najib menangani kelembapan ekonomi, Dr Mahathir berkata: “Saya tak tahu tapi saya tahu (Tan Sri) Nor Mohamed Yakcop mempunyai kebolehan dalam bidang itu.”

Sementara itu, Abdullah menyifatkan barisan Kabinet baru itu sebagai satu pasukan yang kuat untuk memajukan rakyat dan negara.

Beliau berkata, barisan menteri berkenaan adalah pilihan yang tepat dan berharap mereka berkhidmat dengan baik dan menunjukkan taat setia kepada Najib untuk sama-sama menjayakan pentadbiran negara.

“Beliau (Najib) memahami dan dapat tubuhkan satu pasukan yang kuat… saya harap mereka (menteri) akan dapat berkhidmat dengan baik, menyokong dan taat setia kepada Najib.

“Mereka perlu bekerja kuat, sekali gus menjayakan pentadbiran untuk memajukan rakyat dan negara,” katanya ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam.

Ditanya mengenai tindakan Najib mengecilkan Kabinet, Abdullah berkata, langkah itu adalah hak individu.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply