News_archive

Bincang isu jambatan

Najib, Hsien Loong dijangka sentuh cadangan ganti Tambak Johor

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Najib Razak akan membincangkan semula cadangan pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor yang berusia 85 tahun, dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong, sempena lawatan kerja dua hari ke republik itu.

Perdana Menteri yang dijangka bertemu Lee, petang ini menjelaskan isu jambatan berkenaan pasti akan dibangkitkan dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya itu.

“Sama ada ia jambatan bengkok, lurus, bawah atau atas tanah, kita akan membincangkannya. Kita akan lihat nanti bagaimana hasil perbincangan itu,” katanya pada sidang media ketika singgah melawat Nusajaya, sebelum berlepas ke Singapura semalam.

Kerajaan, ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, meluluskan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan separuh daripada Tambak Johor di kawasan Malaysia. Projek dilaksanakan Gerbang Perdana Selatan Bersepadu Sdn Bhd (GPSB) berharga RM620 juta itu dimulakan pada awal 2006 dan jangka mengambil masa 36 bulan.

Bagaimanapun, pada 12 April 2006, selepas kira-kira lima peratus kerja asas pembinaannya siap, kerajaan menghentikan projek itu serta semua rundingan membabitkannya dengan kerajaan Singapura.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika mengumumkannya berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira suara dan sentimen rakyat secara keseluruhan terutama berhubung bekalan pasir dan ruang udara.

Dalam rundingan antara kedua-dua negara ketika itu, Singapura dikatakan meminta antara lain supaya Kuala Lumpur membenarkan pesawat pejuangnya menggunakan ruang udara negara ini dan membekalkan pasir sebagai balasan.

Permintaan Singapura itu dikritik rakyat Malaysia, terutama penduduk Johor yang menganggapnya sebagai keterlaluan. Bagaimanapun, pelbagai pihak mahu kedua-dua negara mengkaji semula cadangan membina jambatan itu, yang dijangka mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan menyediakan pelbagai peluang ekonomi kepada masyarakat tempatan, selain membantu mengatasi kesesakan di Tambak Johor.

Sementara itu, Najib dalam satu temu bual dengan akhbar Straits Times dan Business Times, Singapura yang disiarkan semalam berkata, isu pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor itu harus diperhalusi dengan teliti.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu satu kajian menyeluruh membabitkan semua aspek berhubung perkara itu dibuat terlebih dulu tanpa menetapkan tempoh untuk membuat keputusan mengenainya.

“Saya baru memegang jawatan (Perdana Menteri) satu setengah bulan. Ia sesuatu yang memerlukan penelitian kerana sebelum ini ada isu lain yang berkait dengan jambatan. Saya tidak mahu memulakannya sehinggalah ada tanda kepastian positif mengenai keseluruhan projek.

“Jika saya meneruskan semula projek jambatan, saya mahu lihat kesudahan yang berjaya. Saya tidak mahu masalah seperti sebelum ini berulang. Oleh itu, (kita mesti) kaji semua aspek projek ini dan ia sudah tentu tidak ada tempoh masa (untuk melaksanakannya),” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply