BlogFeatured Articles

#Bajet2018: Apa cadangan anda?

Sorry this entry isn’t available in the selected language

Kini, penyediaan bajet tahunan negara tidak terhad kepada cadangan pegawai-pegawai kerajaan dan pihak pentadbir sahaja malah semua rakyat Malaysia turut diberikan peluang untuk bersama-sama mencatur masa depan negara.

Bermula semalam hingga 18 September 2017, anda boleh mengemukakan cadangan dan maklum balas untuk Bajet 2018 secara terus kepada saya melalui laman web khas yang interaktif diĀ https://bajet2018.najibrazak.com.

Platform khas ini telah disediakan bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat untuk turut serta dalam proses penggubalan bajet tahunan negara, ke arah satu bajet yang inklusif dan memenuhi keperluan rakyat. Inisiatif ini juga adalah satu kesinambungan daripada Majlis Konsultasi Bajet 2018 yang telah diadakan pada Jun lepas, di mana saya telah bertemu dan menerima maklum balas daripada wakil-wakil sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ini tentunya menunjukkan dasar keterbukaan kerajaan dalam mentadbir negara, mengutamakan pendekatan bottom-up berbanding top-down, mendemokrasikan bajet tahunan negara.

Langkah ini telah saya mulakan sejak tahun 2012 dan Alhamdulillah, setiap tahun banyak cadangan dan pandangan daripada golongan usahawan, belia, profesional, penduduk luar bandar dan ramai lagi telah diutarakan.

Bagi penggubalan Bajet 2017 tahun lepas, sebanyak 8,352 cadangan telah diterima dan dipertimbangkan. Sebagai contoh, cadangan Saudara Abdul Manaf agar pelepasan cukai diberikan untuk aktiviti-aktiviti sukan dan cadangan Mohd Raif Masaud berkenaan penambahan kelajuan internet pada kadar lebih rendah telah saya pertimbangkan dan umumkan dalam Bajet 2017. Banyak lagi cadangan-cadangan lain yang telah dikaji, diperhalusi dan dijadikan sebahagian daripada polisi-polisi kerajaan.

Bagi Bajet 2018, pengguna boleh memilih untuk memberi cadangan di bawah 14 kategori, antaranya ekonomi digital, kos sara hidup, perumahan dan kehidupan bandar, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan desa, alam sekitar dan pertanian, belia dan sukan, budaya dan pelancongan serta keselamatan awam dan ketelusan.

Saya harap melalui inisiatif ini lebih ramai anak-anak Malaysia mengambil peluang untuk menjadi lebih proaktif dalam memainkan peranan masing-masing dan menyumbang kepada negara.

Ayuh, kemukakan cadangan anda untuk sama-sama kita membentuk masa depan!

Leave a Reply