Lebih 40 tahun lamanya, saya telah mendedikasikan hidup saya kepada perkhidmatan awam. Pada mulanya, kerjaya saya diinspirasikan oleh Allahyarham Ayahanda Tun Abdul Razak, tetapi sebenarnya rakyat-lah yang memberikan saya kekuatan. Mungkin saya bukan lagi Perdana Menteri anda semua, tetapi bagi saya perkhidmatan awam adalah kerjaya sepanjang hayat.

Laman web ini adalah kesinambungan kepada perkhidmatan awam saya dalam kapasiti yang baharu. Saya bertekad untuk terus berkhidmat dan memainkan peranan dalam membentuk masa depan kita bersama, kerana Malaysia harus sentiasa diutamakan berbanding politik, tak kira apa pegangan politik kita.

Saya sentiasa berpegang kepada kepercayaan bahawa untuk negara kita terus makmur, kita harus berpegang pada prinsip rakyat mengatasi politik, dan pencapaian mendahului retorik. Kita mestilah bersikap inklusif, inovatif dan berani untuk merealisasikan potensi sebenar Malaysia – sepertimana program transformasi yang diperkenalkan pada 2009 – 2018, program-program yang terus membuahkan hasil hari ini.

Ranking universiti-universiti kita terus meningkat, keluarga daripada kumpulan B40 mempunyai lebih banyak peluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui bantuan dasar seperti BR1M, 1Azam dan program TVET, projek mega dan InfraRakyat seperti Lebuhraya Pan Borneo akan memberi manfaat sosio-ekonomi kepada kawasan yang terlibat untuk bertahun-tahun yang akan datang, manakala MRT yang dapat kita lihat melingkari Lembah Klang hari ini adalah projek rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia.. Banyak lagi sepertinya boleh anda baca di sini.

Melalui tumpuan lebih berat kepada kumpulan B40 dan perancangan yang teliti, dasar-dasar Barisan Nasional memberi manfaat kepada lebih banyak kumpulan rakyat Malaysia berbanding sebelumnya – daripada anak kecil di Bario hinggalah kepada ibu tunggal di Kuala Lumpur, tanpa mengira kaum mahupun agama. 1Malaysia bukanlah hanya sekadar retorik, tetapi adalah prinsip yang tersemai dan sebati dalam setiap dasar yang saya rancang dan laksanakan. Dasar-dasar ini direncanakan untuk rakyat Malaysia, dan besarlah harapan saya bahawa ia tidak akan dihentikan malah dipertingkatkan lagi demi generasi-generasi seterusnya pada masa yang akan datang.

Berkhidmat untuk anda semua sebagai Perdana Menteri adalah penghormatan terbesar dalam hidup saya. Malaysia dan rakyat Malaysia akan sentiasa terbuku dalam hati saya. Perkhidmatan awam – khidmat kepada dan untuk anda semua – adalah komitmen sepanjang hayat buat saya, dan selagi nyawa dikandung badan, saya akan terus berjuang untuk negara tercinta, dan memastikan kebajikan rakyat terus terbela.

Terima kasih kerana meluangkan masa melawat laman web saya. Ayuh sama-sama kita terus berusaha untuk Malaysia.

Najib Razak

Perdana Menteri Malaysia ke-6
Ahli Parlimen Pekan

Mengenai Najib Razak

Kerjaya Najib Razak bermula lebih 40 tahun lalu pada 1976, sebagai kesinambungan legasi Ayahanda beliau Tun Abdul Razak yang meninggal dunia semasa berkhidmat. Beliau mewarisi kerusi Parlimen Ayahanda beliau di Pekan sebagai Ahli Parlimen termuda dalam sejarah pada umur 23 tahun. Sebelum berkecimpung dalam dunia politik, Najib Razak mempelajari Ekonomi Industri di University of Nottingham dan pernah berkhidmat dalam sektor korporat bersama Petronas.

Pada umur 25 tahun, beliau dilantik ke Kabinet sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos, Timbalan Menteri termuda pada waktu itu. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang antara 1982 hingga 1986, menjadi Menteri Besar termuda dalam negara. Beliau juga adalah Menteri termuda yang dilantik ke Kabinet apabila menjadi Menteri Belia dan Sukan pada tahun 1986.

Pada tahun 2009, Najib Razak mengambil alih tampuk kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, di saat Malaysia berdepan kelembapan ekonomi global. Di bawah kepimpinan beliau, meskipun berhadapan dengan krisis ekonomi global dan kejatuhan harga minyak, ekonomi Malaysia berkembang 90% daripada RM712.86 bilion pada 2009 kepada ekonomi RM1.352 trilion pada 2017, dengan pertumbuhan purata sebanyak 5.4% sejak 2010 – bukti keberkesanan dasar ekonomi dan transformasi yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Najib Razak. Pentadbiran beliau turut memperkenalkan konsep 1Malaysia yang menjadi asas kepada dasar transformasi beliau yang direncanakan untuk memberi manfaat kepada seramai mungkin rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau latar belakang ekonomi mereka.

Dengan Najib Razak sebagai nakhoda, diplomasi Malaysia berada pada tahap tertinggi dan memperlihatkan tempoh peningkatan stabil tatkala seluruh dunia bergelut dengan krisis ekonomi global dan kejatuhan harga minyak. Dasar-dasar beliau terus membuahkan hasil hari ini meskipun pemerintahan Kerajaan telah bertukar. Najib Razak tidak berniat untuk berhenti, sebaliknya bertekad akan terus berkhidmat untuk rakyat Malaysia sebagai pembangkang yang berkesan. Najib Razak akan meneruskan perjuangannya, berkhidmat dan berbakti untuk rakyat Malaysia semua.

Dasar-dasar Utama

  • 1Malaysia
  • Program Transformasi Nasional
  • Bantuan Rakyat 1Malaysia
  • Global Movement of Moderates
  • ADAM50
  • Transformasi Nasional 2050 (TN50)

Jawatan Yang Disandang

(Kerajaan)

  • Perdana Menteri Malaysia ke-6
    2009 – 2018
  • Timbalan Perdana Menteri
    2004 – 2009
  • Menteri Pertahanan
    2000 – 2008
  • Menteri Pendidikan
    1995 – 2000
  • Menteri Pertahanan
    1990 – 1995
  • Menteri Belia dan Sukan
    1988 – 1990
  • Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan
    1986 – 1988
  • Menteri Besar Pahang
    1982 – 1986
  • Timbalan Menteri Kewangan
    1981 – 1982
  • Timbalan Menteri Pendidikan
    1980 – 1981
  • Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos
    1978 – 1980

(Politik)

  • Ahli Parlimen Pekan
    1976 – present
  • Pengerusi Barisan Nasional
    2009 – 2018
  • Presiden UMNO
    2009 – 2018
  • Timbalan Pengerusi Barisan Nasional
    2004 – 2009
  • Timbalan Presiden UMNO
    2004 – 2009
  • Naib Presiden UMNO
    1994 – 2004
  • Ketua Pemuda UMNO
    1988 – 1993
  • Ketua Pemuda (Pemangku) UMNO
    1987 – 1988
  • Naib Ketua Pemuda UMNO
    1982 – 1987
  • Ahli Majlis Tertinggi UMNO
    1981 – 1987