BlogFeatured Articles

MRT Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya

By Thursday August 3rd, 2017 No Comments

Saya gembira membaca maklum balas yang diberikan oleh pengguna berkenaan infrarakyat MRT Sungai Buloh – Kajang yang telah dibuka sepenuhnya pada bulan lepas. Alhamdulillah semuanya memberi maklum balas positif malah berbangga dengan hasil titik peluh anak-anak Malaysia yang merancang dan membina projek pengangkutan awam bertaraf dunia tersebut. 

Ada juga yang berkongsi manfaat MRT kepada mereka dalam menjalani kehidupan seharian. Contohnya Muhammad Saiful Radir dalam temuramahnya bersama Utusan telah memberitahu bahawa perjalanan beliau dari Sungai Buloh ke Kajang kini lebih cepat berbanding dahulu. Beliau juga gembira dengan kemudahan tempat letak kereta yang disediakan di stesen-stesen MRT. 

Janaki Muthuraman yang tinggal di Kota Damansara pula telah memberitahu The Star bahawa beliau kini tidak perlu lagi risau berkenaan masalah kekurangan parkir dan kesesakan lalu lintas jika ingin ke Kuil Sri Maha Mariamman yang terletak berhampiran dengan Stesen MRT Pasar Seni. 

Begitu juga Low Zi Hoe yang sebelum ini perlu mengharapkan rakan-rakan dan keluarga untuk menumpangkan beliau ke Kuil Guan Ti kerana kekurangan parkir di kawasan tersebut.

Saya yakin cerita-cerita sebegini memberi dorongan kepada kerajaan, pihak Prasarana dan pihak MRT Corp untuk melakukan yang lebih baik untuk rakyat dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisyen serta memenuhi keperluan rakyat. 

Sesungguhnya maklum balas yang diberikan juga merupakan satu bukti bahawa kerajaan bukan sahaja peka akan masalah rakyat di kawasan bandar tetapi proaktif dalam menyelesaikannya. Melalui MRT, jaringan perkhidmatan pengangkutan awam telah diperluaskan, memberi akses kepada lebih ramai pengguna yang sebelum ini tidak mempunyai akses kepada pengangkutan awam, menghubungkan mereka kepada sekolah-sekolah, pusat membeli-belah, tempat-tempat keagamaan serta tempat-tempat pelancongan. Kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan, masa perjalanan dipendekkan sekaligus mengubah kualiti kehidupan penduduk bandar kepada yang lebih baik lagi.

Bayangkan, anda kini boleh makan tengah hari di kawasan Bukit Bintang jika bekerja di kawasan KL Sentral, keluarga yang tinggal di Bandar Utama boleh pergi ke Kajang untuk makan sate pada hujung minggu, semua dengan lebih mudah dan pantas.

Bagi saya ini adalah satu pencapaian yang amat membanggakan dan Alhamdulillah hasil perancangan rapi, projek MRT ini juga dapat disiapkan lebih awal daripada jadual dengan kos RM21 bilion, lebih rendah daripada RM23 bilion yang diperuntukkan. 

Teringat kembali kepada kata-kata pemimpin pembangkang tidak lama dahulu yang menuduh MRT ini memakan belanja sebanyak RM100 bilion. Tidak masuk akal langsung. Apakah boleh kita mempercayai mereka ini? Seperti tuduhan-tuduhan lain, ini hanyalah satu taktik untuk mengeliru dan menakutkan rakyat. 

Kejayaan kita ini dari segi kewangan sebahagian besarnya adalah menerusi sistem tender yang telah dilaksanakan dalam memastikan ketelusan dan kelangsungan projek ini, selain urus tadbir yang baik. Dan dalam proses ini, kita tidak lupa akan agenda pemerkasaan Bumiputera juga. Kita turut memberi peluang dan manfaat kepada ramai bumiputera melalui inisiatif ‘carve out and compete’. Kira-kira 50% pakej kerja telah diberikan kepada syarikat bumiputera untuk Pakej Kerja Utama. Ini adalah antara usaha kerajaan untuk mempromosi pembangunan kapasiti kepada syarikat bumiputera, selain membuktikan bahawa syarikat-syarikat bumiputera mempunyai kemampuan jika diberi peluang. Lihatlah hasilnya, terbukti Bumiputera dan anak-anak Melayu mampu ‘deliver’, sekaligus mengubah persepsi terhadap kontraktor bumiputera dan Melayu. 

Usaha Kerajaan Barisan Nasional tidak terhenti dengan siapnya laluan Sungai Buloh-Kajang. Fokus kita sekarang adalah untuk ‘deliver’ laluan kedua kepada rakyat iaitu MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang bakal memanfaatkan lebih kurang 2 juta penduduk dari Sungai Buloh ke Putrajaya merangkumi Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, KLCC, Tun Razak Exchange, Kuchai Lama, Sungai Besi, Seri Kembangan dan Cyberjaya. 

Mengikut kajian, laluan sepanjang 52.2km dengan 37 buah stesen ini bakal mencatat 529,000 penumpang sehari apabila siap beroperasi pada suku kedua 2022 kelak. 

Ini adalah satu lagi projek yang ditunggu-tunggu rakyat dan saya pasti akan kita jayakan sekali lagi, Insya-Allah.

Leave a Reply