News_archive

MRT Akan Jana RM8-RM12 Bilion Di Segi Projek Limpahan, Kata Najib

By Friday July 8th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata projek Lembah Klang My Rapid Transit (MRT) dijangka menjana antara RM8 dan RM12 bilion di segi projek limpahan.

Katanya projek itu akan turut meningkatkan pembangunan hartanah dengan anggaran nilai RM15 bilion di segi hartanah baharu, yang dijangka disiapkan di dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Pendapatan Negara Kasar RM3 bilion diunjurkan dijana berasaskan kenaikan 20 peratus di segi nilai projek komersil dan kediaman antara jejari 0.5 km dan 1.0 km pada laluan MRT itu di dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya semasa pelancaran projek MRT dari Sungai Buloh Kajang.

Najib juga mengumumkan kelulusan jajaran akhir projek MRT itu, yang sebaik disiapkan, akan memanfaatkan lebih 10 juta pengguna.

MRT itu direka bentuk menjadi tulang belakang ke arah mewujudkan rangkaian rel antara bandar yang terdiri daripada Transit Aliran Ringan (LRT) dan Sistem Komuter KTM.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pelancaran dan pengumuman jajaran muktamad, kerja pembersihan tanah akan bermula bagi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) itu, iaitu laluan MRT pertama yang dikhususkan bagi inisiatif Greater Kuala Lumpur.

MRT itu adalah projek infrastruktur awam terbesar yang dilaksanakan oleh kerajaan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi.

“Projek itu akan menyaksikan permulaan kerja tanah di tiga lokasi sepanjang jajaran itu di Sungai Buloh, Cochrane dan Semantan,” kata Syed Hamid.

Beliau juga mengumumkan kajian kemungkinan yang sedang dilaksanakan bagi mengkaji daya maju menyambung sistem itu ke Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Inisiatif itu adalah sebahagian daripada perancangan jangka panjang SPAD bagi memastikan sistem MRT dan rangkaian pengangkutan yang lebih meluas boleh digunakan oleh setiap lapiran masyarakat,” kata Syed Hamid.

“Pembinaan laluan Sungai Buloh-Kajang sejauh 51 km itu akan bermula pada November apabila pakej tender pertama diberikan,” katanya, sambil menyatakan bahawa projek itu dijadualkan disiapkan pada 2016 dan memulakan operasi pada Januari 2017.

“Sebaik beroperasi, projek MRT Lembah Klang itu akan mempunyai 31 stesen, dengan lapan stesen bawah tanah,” katanya.

Akan terdapat empat stesen pertukaran (interchange) yang menghubungkan Laluan Komuter KTM, Laluan LRT Ampang dan Laluan LRT Kelana Jaya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply