News_archive

Model ekonomi baru

By Wednesday June 10th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA 11 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Bajet 2010 akan menekankan mengenai cara-cara untuk merangsang lagi ekonomi negara dengan merubahnya menjadi sebuah ekonomi berasaskan pendapatan tinggi dengan sektor perkhidmatan memainkan peranan penting di dalam model baru ekonomi yang sedang dirancang.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut berjanji bahawa kesemua dasar kerajaan akan konsisten dengan “tidak mengubah dasar sewenang- wenangnya atau mempunyai kepincangan di dalam dasar kita.”

Dasar (kerajaan), katanya, akan direka bentuk untuk merangsang pertumbuhan dan memupuk keyakinan yang lebih tinggi di kalangan para pelabur bagi memastikan aliran masuk lebih besar Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Ini bakal dilakukan dengan mengambil kira persaingan sengit berikutan kemelesetan ekonomi global, katanya.

“FDI di seluruh dunia dijangka berkurangan 50-60 peratus daripada jumlah yang dilihat pada tahun lepas. Kita perlu meraih sebahagian daripada jumlah (baki FDI) itu,” kata Najib semasa merasmikan mesyuarat Perundingan Bajet 2010 di sini hari ini.

“Kita melihat mengenai bagaimana kita boleh memastikan keyakinan lebih meluas di segi dasar kerajaan. Kita perlu menjadi mesra pasaran, kita perlu menjana aktiviti domestik yang lebih meluas.

“Pada masa yang sama, kita perlu mewujudkan satu masyarakat yang adil dan jujur. Matlamat ini telah dilupai atau diketepikan. Kita perlu menjadikan terasnya lebih mesra pasaran dan pada masa sama mempunyai satu mesyarakat yang adil dan jujur,” katanya.

Perdana Menteri turut mendedahkan bahawa beliau akan membuat satu “pengumuman besar” berkaitan liberalisasi yang lebih meluas pada persidangan “2009 Invest Malaysia” pada akhir tahun ini.

“Kami sedang menangani cabaran jangka pendek, adalah penting bagi kita untuk melakar satu hala tuju baru bagi negara ini, satu model ekonomi baru akan dibangunkan oleh kerajaan,” jelasnya.

Katanya, sektor perubatan terutamanya pelancongan perubatan, akan turut dimasukkan ke dalam perkara keutamaan “untuk menempatkan Malaysia sebagai satu penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan berkelas dunia”.

Cadangan koridor pembangunan, kata beliau, terutamanya Kawasan Pembangunan Wilayah Iskandar, akan diteruskan apabila Malaysia melihat potensi yang mencukupi di dalam projek sedemikian.

Najib juga berkata kerajaan berharap ekonomi akan kembali di atas landasan dengan mencatatkan pertumbuhan yang berpatutan pada tahun depan.

Perdana Menteri berkata pakej rangsangan bernilai RM67 bilion yang diumumkan oleh kerajaan akan menyediakan rangsangan penuh bagi ekonomi negara di dalam separuh kedua tahun ini.

Pakej rangsangan itu dijangka memberikan pertumbuhan tambahan 1.0-2.0 peratus bagi negara, katanya semasa bercakap di mesyuarat perundingan tersebut.

“Suku tahun ketiga tahun ini akan menyaksikan pertumbuhan negatif marginal dan suku tahun keempat akan menyaksikan pertumbuhan positif,” kata Najib.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahun pertama Malaysia bagi tahun ini menguncup 6.2 peratus berbanding dengan pertumbuhan 0.1 peratus pada suku tahun keempat tahun lepas berikutan kemerosotan ketara permintaan luaran ekoran kemelesetan serius ekonomi.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply