News_archive

Mesyuarat Menyelaras Khas Bincang Kes H1N1 Pertama – Najib

By Tuesday June 16th, 2009 No Comments

KUCHING, 17 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata satu mesyuarat khas akan diadakan esok bagi menyelaras tindakan kesemua 14 kementerian dalam menangani wabak infleunza A (H1N1) berikutan kes penularan tempatan pertama dicatat di negara ini.

Beliau berkata Kabinet memutuskan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat itu bagi kementerian terlibat, termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran.

“Kita tidak mahu orang ramai panik…langkah sesuai akan dibincangkan pada mesyuarat esok,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hotel Four Points By Sheraton Kuching yang dibangunkan Global Upline Sdn Bhd di sini Rabu.

Najib berkata setakat ini belum ada arahan untuk menutup sekolah tetapi orang ramai mesti peka serta mengelak daripada pergi ke tempat yang mempunyai terlalu ramai orang atau melawat negeri yang berisiko tinggi.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang turut hadir pada majlis itu berkata kes yang ke-19, melibatkan seorang pelajar perempuan 17 tahun rakyat Malaysia itu, mempunyai kontak dengan kes ke-12.

Beliau berkata mereka yang menghidap H1N1 perlu dengan jelas memberitahu kementerian kontak yang telah dibuat dengan sesiapa sekalipun kerana kes terbaru itu didapati tidak dimaklumkan sebelum ini.

Setakat ini, sebanyak 23 kes di catat di seluruh negara, termasuk empat kes import dan satu kes tempatan hari ini, katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply