News_archive

Meritokrasi pilih syarikat layak

By Saturday August 20th, 2011 No Comments

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak berkata, 1,100 syarikat Bumiputera berprestasi tinggi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai syarikat besar dan berkelas dunia, sedang dikenal pasti dan senarainya akan diumumkan dalam masa dua tiga bulan lagi.
Perdana Menteri berkata, pemilihan dibuat mengikut amalan meritokrasi kerana negara memerlukan yang terbaik dan usahawan dipilih mesti terbukti kewibawaannya sebagai pengusaha tulen.
Insya-Allah program ini satu pendekatan baru berdasarkan meritokrasi di kalangan Bumiputera. Tak ada lagi soal kroni… tidak ada lagi soal siapa kita tahu bukan kawan rakan kita, tapi orang yang benar-benar boleh berjaya, orang itulah kita bantu. – Najib Razak, Perdana Menteri
“Program membantu usahawan Bumiputera di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu juga akan mengetepikan amalan kroni yang hanya menyebabkan ketirisan dan merugikan Bumiputera itu sendiri,” katanya di hadapan kira-kira 5,000 hadirin ketika merasmikan Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Dewan Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, semalam.

Hadir sama pada konvensyen dua hari anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) dan UiTM itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi GABEM, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, perubahan pendekatan dalam membantu usahawan Bumiputera berdasarkan meritokrasi dilihat lebih baik berikutan kaedah seperti pemberian saham terbitan awam menerusi kuota Bumiputera, tidak bertahan lama kerana saham itu dijual kembali ke pasaran.

Justeru, katanya, kerajaan akan membantu syarikat berkenaan supaya menjadi lebih besar.
“Jika perolehannya RM100,000 tahun ini, dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia akan meningkat kepada RM1 juta, dan kalau sekarang ini hanya beroperasi di dalam negara, syarikat itu nanti akan berkembang ke peringkat antarabangsa.

“Insya-Allah program ini satu pendekatan baru berdasarkan meritokrasi di kalangan Bumiputera. Tak ada lagi soal kroni… tidak ada lagi soal siapa kita tahu bukan kawan rakan kita, tapi orang yang benar-benar boleh berjaya, orang itulah kita bantu,” katanya.

Najib berkata, kerajaan akan mengadunkan sistem meritokrasi dan keadilan sosial bagi memastikan kekayaan negara diagihkan seadil-adilnya dan ia dapat dilihat dalam pemberian biasiswa.

Konvensyen itu bertujuan membincangkan isu, masalah, kedudukan dan peluang ekonomi orang Melayu dan Bumiputera dalam pelaksanaan Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi Kerajaan (ETP).

Antara lain, konvensyen berkenaan mencadangkan Program Transformasi Ekonomi Bumiputera (BTP) dengan pengenalan dan pelaksanaan beberapa inisiatif dan program bagi mengurangkan jurang pendapatan di antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply