BlogFeatured Articles

Meriahnya Aidilfitri di Malaysia

By Wednesday June 28th, 2017 No Comments

Kini tiba masanya
Hati gembira di Hari Raya
Bertemu sanak dan saudara
Bermaaf-maafan dengan keikhlasan
– Allahyarham Tan Sri P. Ramlee

Alhamdulillah, sekali lagi dapat kita bersama menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam suasana meriah dan aman sentosa di negara yang kita cintai ini.

Seperti lirik lagu Suara Takbir Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ketibaan Syawal disambut dengan hati gembira, di mana kita dapat bertemu keluarga dan bermaaf-maafan sesama kita.

Pagi Hari Raya Pertama, anak-anak kecil biasanya yang paling gembira, berbaju baharu dan dapat bertemu saudara-mara, kecoh satu rumah dengan telatah mereka, lagi-lagi bila sampai masa untuk kumpul duit raya!

Begitulah juga gembiranya ibu dan bapa, dapat berkumpul satu keluarga, terutamanya yang anak-anak mereka tinggal berjauhan, mungkin setahun sekali baru dapat bersua muka.

Tak kurang juga meriah anak-anak muda golongan remaja menyambut raya. Bergaya betul #TeamRayaKL ambil foto di tengah jalan raya yang kosong dan lengang, #TeamRayaKampung pun sama tidak lepaskan peluang ambil foto di bendang dan sawah, biasalah orang bandar sekali-sekala masuk kampung!

Walau bagaimanapun sambutan masing-masing, yang penting kita dapat menyambutnya bersama dengan keluarga serta orang tersayang, bersama kawan-kawan dan jiran taulan, dalam keadaan harmoni di negara yang aman dan damai.

Jika kita lihat di sesetengah negara Islam lain, mereka tidak beruntung seperti kita, sambutan cukup sederhana, lebih menyedihkan lagi ada yang langsung tidak punya peluang menyambut Syawal, nyawa bagai di hujung tanduk, serangan dan keganasan tanpa mengira masa sering menimpa mereka.

Sama-samalah kita teruskan berdoa buat saudara se-Islam kita yang kurang bernasib baik, semoga Allah SWT melindungi dan memberi keamanan buat mereka.

Pada masa sama, kelebihan dan kemeriahan Aidilfitri di Negaraku Malaysia, hasil rahmat dan kurniaan Yang Maha Esa ini, perlu kita terus syukuri dan lindungi sentiasa.

Insya-Allah, sekiranya kita terus berusaha sehati dan sejiwa bersatu padu sebagai sebuah negara, keistimewaan dan kelebihan ini dapat kita pelihara sentiasa, dan Aidilfitri saban tahun dapat terus kita raikan bersama dalam suasana gembira.

Leave a Reply