News_archive

Menyelami keluh kesah rakyat

By Thursday April 30th, 2009 No Comments

SEMUANYA terarah untuk rakyat. Amanat sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada 1.2 juta kakitangan awam kelmarin ‘sudah terang lagi bersuluh’ mahukan rakyat diutamakan.
 
Dalam ucapan selama 35 minit yang disifatkan lebih fokus, tiada dehem, tiada air suam di sisi serta beralaskan telepromter – Najib mahu generasi penjawat awam membuktikan kerelevanan mereka kepada rakyat dengan mencipta semula peranan mereka sesuai dengan masa.
 
“Kita memerlukan sektor awam yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai kemampuan dan berani untuk berubah,” tegasnya sambil diperhatikan timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam dewan plenari yang memuatkan 5,000 kakitangan awam.
 
Najib mengambil masalah yang paling asas dan dekat dengan rakyat dalam membangkitkan semangat dan azam baru kakitangan awam. “Rakyat mengeluh kerana walaupun jumlah kaunter dilihat begitu banyak namun kebanyakan waktu, jumlah kaunter dibuka pada waktu puncak tidak pada jumlah optimum yang dapat menangani jumlah pelanggan.
 
“Begitu juga jika rakyat menelefon jabatan kerajaan, pegawai dan kakitangan tidak menjawab, atau kalau menjawab pun, kata tidak tahu. Meskipun bukan semua terlibat, justeru kenapa masih memegang teguh kepada birokrasi yang menyusahkan, beranjaklah kepada yang bersifat memudah cara,” kata Perdana Menteri.
 
Kerana itu sebaik sahaja menyandang jawatan Perdana Menteri, beliau telah memulakan siri walkabout atau tinjauan mesra dan prihatin ke kawasan tertentu.
 
“Ia bukan sahaja bagi membolehkan saya mendekati rakyat, tetapi lebih penting supaya saya dapat merasai kepekaan secara visual dan merasai sendiri melalui panca deria saya akan segala bau dan hiruk-pikuk serta liku-liku kepayahan yang dilalui orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian.
 
“Contohnya, bagaimana kita hendak menggubal dasar pengangkutan awam jika kita sendiri tidak turun ke bawah menaiki LRT, komuter dan bas,” katanya.
 
Dalam aspek ini, Najib mengimbas pendekatan ayahnya, Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Razak Hussein yang turun merapati rakyat ke kampung, sawah bendang dan tanah rancangan dengan menaiki basikal dan berperahu.
 
Ternyata, akui Perdana Menteri – pengalaman yang diperoleh itu amat berharga berbanding penilaian berasaskan laporan yang dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin.
 
Kelmarin, dalam dialog tertutup sebaik selesai amanat beliau, Najib dilontarkan sembilan soalan, salah satunya berkisar konsep Satu Malaysia – yang dijawab Najib akan diperluaskan agar ia menjadi pendekatan utama kerajaan merapati rakyat.
 
Apa yang Najib mahukan ialah ‘tidak mahu lagi sekadar memanterakan slogan yang muluk-muluk tetapi kosong’. Yang paling mustahak, beliau inginkan pentadbirannya menjadi pemerintahan yang memahami denyut hati rakyat.
 
Pentadbiran yang berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply