News_archive

MENJAWAB SOALAN

By Tuesday February 17th, 2009 No Comments

Tuan Yang di-Pertua,

Izinkan saya menjawab soalan Ahli Yang Berhormat dari Kapit bersama-sama dengan 14 soalan lain daripada Ahli-ahli Yang Berhormat dari Bagan, Cheras dan Gelugor yang dijadualkan dijawab pada hari ini 17 Februari 2009, dari Jerlun bertarikh 18 Februari, Kepong bertarikh 19 Februari, Tenggara bertarikh 23 Februari, Kampar bertarikh 24 Februari, Jasin bertarikh 24 dan 25 Februari, Kuala Selangor bertarikh 25 Februari, Pontian bertarikh 2 Mac 2009, Batu Pahat bertarikh 5 Mac serta dari Klang bertarikh 5 dan 10 Mac. Ini adalah kerana semua soalan yang dikemukakan menyentuh mengenai perkara dan isu yang sama iaitu berkaitan pakej rangsangan ekonomi dan langkah-langkah bagi menangani kesan kelembapan ekonomi dunia ke atas ekonomi domestik.

Tuan Yang di-Pertua,

1. Sejak pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi pada 4 November 2008 di Dewan yang mulia ini, persekitaran ekonomi dunia bertambah meruncing dan semakin tidak menentu. Pada 28 Januari 2009, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menyemak semula unjuran kadar pertumbuhan ekonomi dunia untuk tahun 2009 kepada paras yang lebih rendah iaitu daripada 2.2 peratus kepada 0.5 peratus. Manakala, unjuran pertumbuhan perdagangan dunia bagi 2009 juga disemak semula daripada kadar positif 2.1 peratus kepada kadar pertumbuhan negatif sebanyak 2.8 peratus. Prospek ekonomi negara maju pula tidak memberangsangkan dengan Amerika Syarikat dijangka mengalami pertumbuhan negatif sebanyak 1.6 peratus. Negara-negara lain yang turut mengalami pertumbuhan negatif termasuk United Kingdom sebanyak 2.8 peratus, Jepun 2.6 peratus, Taiwan, 4 peratus, Korea Selatan, 2 peratus dan Singapura, 4.9 peratus. Negara-negara membangun, seperti China dan India pula dijangka mencatat kadar pertumbuhan yang lebih rendah, masing-masing sebanyak 6.7 dan 5.1 peratus.

2. Memandangkan persekitaran antarabangsa yang semakin mencabar, sebagai sebuah ekonomi terbuka, negara kita juga dijangka menerima kesan daripada kelembapan ekonomi dan perdagangan dunia. Trend ini dapat dilihat sejak bulan Oktober 2008, di mana penunjuk-penunjuk ekonomi utama seperti eksport negara mengalami penurunan sebanyak negatif 2.6 peratus dalam bulan Oktober dan begitu juga bagi November, negatif 4.9 peratus dan Disember, negatif 14.9 peratus. Manakala indeks pengeluaran perindustrian (IPI) juga merosot dalam tempoh yang sama, iaitu Oktober, negatif 2.8 peratus peratus, November, negatif 8.2 peratus dan Disember, negatif 15.5 peratus.

3. Jumlah pemberhentian pekerja bagi tempoh Oktober 2008 hingga Januari 2009 adalah seramai 11,595 sementara di bawah skim pemberhentian sukarela (VSS) adalah seramai 2,752 orang dalam tempoh yang sama. Harga komoditi terus berada pada paras yang rendah. Harga minyak mentah WTI kini berada pada paras purata USD40 setong berbanding paras tertinggi USD147 setong pada 15 Julai 2008. Harga minyak sawit juga terjejas kepada paras purata RM1,800 se tan metrik berbanding paras tertinggi RM4,203 se tan metrik pada 4 Mac 2008 manakala harga getah terus rendah pada paras purata RM4.50 sekilogram berbanding RM10.52 sekilogram pada 2 Julai 2008. Kedudukan pasaran saham negara masih di paras kedudukan yang rendah pada 903.52 mata pada 10 Februari 2009 berbanding paras tertinggi 1519.22 mata pada 11 Januari 2008.

4. Penunjuk-penunjuk ekonomi ini menggambarkan situasi ekonomi negara kini berdepan dengan risiko yang amat mencabar, seperti mana yang dialami oleh semua negara di seluruh dunia. Perkembangan ini dijangka berterusan dalam tahun ini dan akan memberi kesan kepada kegiatan ekonomi negara pada keseluruhan tahun 2009.

5. Berdasarkan perkembangan yang semakin mencabar ini serta dengan mengambil kira Pakej Rangsangan RM7 bilion yang diumumkan pada 4 November 2008 lepas, unjuran pertumbuhan 3.5 peratus KDNK negara bagi tahun 2009 tidak lagi menggambarkan kedudukan terkini ekonomi negara. Berikutan kelembapan pertumbuhan dan perdagangan dunia yang mungkin menjadi lebih ketara jika pakej-pakej rangsangan seluruh dunia tidak memberi kesan positif yang amat diharapkan, ada kemungkinan besar permintaan ke atas eksport negara kita akan terjejas dengan teruknya dan merosot kepada kadar dua angka. Oleh itu, unjuran kadar pertumbuhan 3.5 peratus tersebut akan disemak semula bagi tahun 2009.

6. Unjuran pertumbuhan baru yang akan diumumkan itu akan mengambil kira kekuatan dan kelebihan ekonomi negara kita dalam menangani persekitaran luar yang tidak menentu. Ini memandangkan Malaysia mempunyai asas-asas ekonomi yang kukuh untuk menyokong daya ketahanan dan pertumbuhan ekonomi. Antaranya, rizab antarabangsa negara terus meningkat kepada USD91.3 bilion pada 30 Januari 2009, dan mampu membiayai 7.5 bulan import tertangguh. Sistem perbankan negara juga kukuh dengan nisbah wajaran modal berisiko berada pada paras yang tinggi iaitu 12.6 peratus pada Disember 2008, melebihi kadar 8 peratus piawaian antarabangsa Basel. Negara kita mempunyai daya saing yang tinggi, khususnya dalam sistem perbankan Islam serta sistem kewangan negara pula tidak terlalu terdedah kepada kesan krisis kewangan global. Tahap hutang tidak berbayar masih di tahap yang rendah sebanyak 2.2 peratus.

7. Kadar inflasi pula dianggarkan berada pada kadar yang stabil dan dijangka meningkat pada kadar yang rendah pada tahun 2009. Paras tabungan kasar negara kekal tinggi pada kadar 37 peratus daripada KDNK pada tahun 2008. Justeru, keadaan ini memberi kelebihan dan fleksibiliti kepada negara untuk menggembleng lebihan sumber sedia ada bagi menyokong kegiatan sektor swasta dan pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Tuan Yang Di pertua,

8. Kerajaan sedar perkembangan yang tidak menentu ini jika tidak ditangani dengan bijak dan segera, boleh membawa kesan yang lebih besar kepada kegiatan ekonomi dalam negara dan kesejahteraan rakyat, terutamanya kesan kepada pengangguran dan kegiatan perusahaan kecil dan sederhana serta golongan yang mudah terjejas. Kerajaan sekali lagi mengambil inisiatif segera untuk menggubal langkah-langkah untuk melindungi ekonomi negara daripada terjerumus ke dalam kemelesetan seperti yang di alami oleh beberapa negara. Pakej rangsangan kedua ini akan di umumkan dalam Dewan yang mulia ini pada 10 Mac 2009 dijangka memberi suntikan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi. Dengan mengambil kira situasi sekarang, langkah-langkah dalam pakej rangsangan kedua ini adalah lebih menyeluruh berbanding dengan pakej pertama bahkan pakej ini boleh disifatkan sebagai satu Bajet Mini. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, butiran terperinci pakej rangsangan kedua ini akan saya bentangkan pada 10 Mac 2009 nanti.

9. Dengan pelaksanaan pakej rangsangan pertama dan kedua, dengan sokongan padu dari semua pihak, termasuk sektor swasta dan semua rakyat, Kerajaan berharap negara akan dapat mengelakkan daripada mengalami kemelesetan ekonomi.

Leave a Reply