Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Menjawab Soalan Parlimen (1Malaysia) - Najib Razak
Speeches

Menjawab Soalan Parlimen (1Malaysia)

By Monday June 15th, 2009 No Comments

Soalan mengenai 1Malaysia yang diajukan oleh ahli-ahli Y.B. Tenggara, Y.B. Ipoh Timur, YB Kapit, YB Mambong,YB Bukit Katil, YB Indera Mahkota, YB Seremban, YB Shah Alam, YB Bukit Gelugor, YB Kubang Kerian, YB Machang, YB Padang Besar, YB Pengkalan Chepa dan YB Taiping.

JAWAPAN:
Tuan Yang Di-Pertua,

Saya mohon izin untuk menjawab secara serentak pertanyaan-pertanyaan berkaitan maksud dan definisi gagasan 1Malaysia yang diutarakan oleh Y.B. Tenggara, Y.B. Ipoh Timur, YB Kapit, YB Mambong,YB Bukit Katil, YB Indera Mahkota, YB Seremban, YB Shah Alam, YB Bukit Gelugor, YB Kubang Kerian, YB Machang, YB Padang Besar, YB Pengkalan Chepa dan YB Taiping.

Sejak saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara tanggal 3 April yang lalu, saya telah utarakan sebuah konsep iaitu 1Malaysia sebagai teras pentadbiran saya. Sejak gagasan ini diketengahkan begitu banyak perbincangan dan perbahasan telah berlangsung dikalangan rakyat disemua peringkat.

Izinkan saya menjawab pertanyaan-pertanyaan ahli-ahli Yang Berhormat di dewan yang mulia ini bagi memperjelaskan erti dan maksud gagasan 1Malaysia. Seperti yang telah saya sebutkan berkali-kali sebelum ini, termasuklah dalam ucapan saya sempena ulang tahun keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 6 Jun yang lalu,1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad kita merdeka. Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti.

Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu pendekatan yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Jika “Bangsa Malaysia” adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan kearah matlamat itu. Pengertian ini adalah bertunjangkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju dalam jangkamasa yang telah ditetapkan, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyat nya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Ia juga sangat berbeza dari konsep Malaysian Malaysia parti pembangkang. 1Malaysia tidak sekali kali menyimpang daripada ruh perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. Malahan gagasan 1Malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika yang lalu.

Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia , dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1 Malaysia menekankan sikap “Penerimaan” di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara dari sikap toleransi semata-mata.

Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
Tuan yang dipertua,

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Formula 1Malaysia digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua adalah penerapan Nilai-nilai aspirasi.

Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara yang telah saya huraikan sebentar tadi iaitu pertama, sikap “penerimaan” antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan rukun negara; dan ketiga adalah keadilan sosial . Teras-teras Perpaduan ini pula didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian dari budaya hidup rakyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat menghormati, Tawadhuk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

Aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemen-elemen tersebut merangkumi Budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; Budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru; meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan undang-undang dan dasar negara; kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanahair tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi. Pembudayaan nilai-nilai Aspirasi ini akan menyerlahkan Masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identity sebuah negarabangsa yang maju dan berjaya.

Tuan Yang Di-Pertua
Dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, Kerajaan telah mengutarakan tema “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebagai sebahagian dari konsep 1Malaysia. Tema ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri-pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangan nya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.

Sehubungan dengan itu, KPI akan digunapakai bagi semua kementierian, jabatan dan agensi kerajaan dan ini akan diterjemahkan perlaksanaan nya ke semua peringkat termasuklah diperikat hubungan langsung orang ramai dengan kakitangan kerajaan. Seorang Menteri dijabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan KPI ini. YB Menteri berkenaan akan memberikan penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemahkan hasrat kerajaan.

Segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia. Diatas segalanya, 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” diyakini akan menjana satu transformasi ketara, kearah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduan nya dan tinggi mertabatnya pada pandangan dunia,

Sekian. Terima kasih.

Leave a Reply