Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Mengurangkan Kesesakan, Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam Setiap... - Najib Razak

Mengurangkan Kesesakan, Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam Setiap…

By Friday May 18th, 2012 No Comments

Mengurangkan Kesesakan, Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam

Setiap kali saya berhubung dengan Rakyat melalui media sosial, saya dapati salah satu daripada isu yang paling kerap dibawa ketengah adalah mengenai pengangkutan, terutamanya di kawasan bandar.

Dengan keadaan ekonomi Malaysia yang kini sedang mengalami kadar pertumbuhan yang pesat, adalah penting bagi kerajaan saya untuk berusaha menyediakan infrastruktur yang teguh dan efisyen agar selari dan sepadan dengan pertumbuhan ini. Sebab itulah, “Pengangkutan Awam Bandar” telah dijadikan salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), dengan tujuan untuk mempertingkatkan lagi infrastruktur pengangkutan di kawasan bandar.

Terdapat dua objektif dalam NKRA Pengangkutan Awam Bandar: untuk mengurangkan kesesakan, dan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Pelbagai langkah telah disesuaikan untuk mencapai matlamat ini. Sebagai permulaan, laluan baru Bus Ekspressway Transit (BET) telah diperkenalkan bagi memendekkan masa perjalanan bas. Selain menambah unit-unit bas RapidKL, tren empat-koc baru telah dibeli bagi menampung laluan LRT Kelana Jaya dan 38 tren EMU enam-koc pula telah dibeli bagi perkhidmatan KTM Komuter.

Selain itu, laluan pejalan kaki bertingkat sepanjang 562 meter dan lima meter lebar yang berhawa dingin sepenuhnya telah dibuka baru-baru ini bagi menghubungkan kawasan-kawasan sibuk di Kuala Lumpur iaitu Jalan Pinang, Jalan Perak dan Jalan Raja Chulan dengan kemudahan eskalator dan tangga di lokasi-lokasi strategik. Laluan ini membentuk sebahagian besar daripada rangkaian pejalan kaki sepanjang 1,173 kilometer yang menghubungkan KLCC dengan Bukit Bintang. Orang ramai kini boleh berjalan kaki ke Bukit Bintang dan Stesen Monorel Raja Chulan, serta stesen LRT KLCC.

Kita juga telah meningkatkan sistem penggunaan tiket bagi bas dan LRT bagi mengurangkan masa beratur. Terminal Pudu Sentral telah turut diubahsuai bagi menyediakan kemudahan moden bertaraf dunia dan satu lagi stesen tambahan telah diwujudkan, iaitu Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Bandar Tasik Selatan yang telah mengalihkan laluan 500 buah bas keluar dari pusat bandaraya sekaligus meringankan kesibukan lalu lintas di kawasan utama bandaraya Kuala Lumpur.

Hasil yang dapat dilihat setakat ini adalah menggalakkan. Sehingga akhir tahun lepas, jumlah bilangan penumpang bas meningkat kepada 4 juta orang dan penumpang laluan LRT Kelana Jaya pula meningkat sebanyak lebih 10 juta orang. Faktor beban untuk bas, KTM dan LRT kini lebih seimbang dengan lebih ramai yang mengambil bas dan KTM dan LRT pula semakin kurang sesak. Statistik kematian jalanraya telah turun di antara tahun 2010 dan 2011, dan indeks kepuasan pelanggan mengenai pengangkutan awam pula telah naik sebanyak 53%.

Walaupun banyak yang telah dilakukan setakat ini bagi mencapai matlamat mewujudkan sistem lalu lintas yang lebih cekap dan kurang mengecewakan, namun kami akan terus berusaha untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, pada tahun ini, lebih banyak lorong bas, lebih banyak set tren enam gerabak bagi KTM Komuter, lebih banyak kerja-kerja naik taraf di stesen LRT dan KTM Komuter, lebih banyak tempat letak kereta dan sebuah ITT baru di Gombak akan diadakan.

Apabila pengangkutan awam menjadi lebih mudah diakses dan lebih cekap bagi rakyat Malaysia, saya harap ianya akan dapat mengurangkan penggunaan pengangkutan persendirian dan menggalakkan sikap positif terhadap pengangkutan awam. Harapan saya agar saya diberi peluang untuk meneruskan segala perancangan ini – supaya pada masa terdekat ini, saya akan lihat semakin kurang tweet dan komen Facebook mengenai pengangkutan!



Original post: https://www.facebook.com/najibrazak/photos/a.294787430951/10150808885605952/?type=3

Leave a Reply