BlogFeatured Articles

Menghayati Ramadan

By Thursday June 1st, 2017 No Comments

Alhamdulillah, sudah hampir seminggu kita menjalankan ibadah puasa. Selain menahan lapar dan dahaga, kita digalakkan untuk menghayati Ramadan kerana bulan ini penuh keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT, di mana pahala ibadah dilipat gandakan dan Allah SWT menjanjikan pengampunan dosa bagi sesiapa yang berpuasa penuh dengan keimanan dan keikhlasan.

Betapa istimewanya bulan Ramadan, Nabi Muhammad SAW juga telah bersabda yang bermaksud: “Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun. (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Selain memperbanyakkan ibadah dan memohon keampunan daripada Allah SWT, saya amat tertarik dengan perkongsian daripada Mufti Menk yang mengajak kita untuk memberhentikan tabiat-tabiat buruk serta menjaga tutur kata lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Saya percaya bahawa menjaga tutur kata bukanlah satu perkara yang asing buat kita, sebagai orang Islam atau sebagai orang Malaysia. Sejak bangku sekolah lagi, kita telah diajar kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Kalau dalam Bahasa Inggeris, kata-kata “If you have nothing good to say, say nothing” sering digunakan sebagai peringatan atau pedoman.

Saya harap di bulan yang penuh keberkatan ini, sama-samalah kita mengambil peluang untuk menghayati dan meningkatkan pengisian ibadah kita sama ada dari segi rohani atau pun dari segi akhlak. Sama-samalah kita menjaga tutur kata, mengelak daripada tuduh-menuduh atau menyebar fitnah kerana perbuatan-perbuatan sebegini sangat merugikan dan boleh membawa kepada kemusnahan. Semoga Ramadan kita tahun ini lebih baik daripada sebelum ini, Insya-Allah.

Leave a Reply