News_archive

MENGGULUNG PERBAHASAN TITAH UCAPAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG DEWAN RAKYAT KEDUA BELAS PENGGAL PERTAMA

By Tuesday May 13th, 2008 No Comments

Tuan Yang di-Pertua,

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan perkara-perkara di bawah bidang tugas Kementerian Pertahanan semasa membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Saya akan perjelaskan perkara-perkara yang telah dibangkitkan.

Isu pertama yang ingin saya sentuh adalah berkaitan dengan dakwaan rasuah dalam perolehan kapal selam “Scorpene” (2 buah) dan pesawat pejuang “Sukhoi”(18 buah). Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa tuduhan yang dibuat oleh Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh ini adalah tidak berasas sama sekali.

Di sini pihak Kementerian Pertahanan ingin memaklumkan bahawa pembelian kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini dibuat mengikut Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara. Ia melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian yang teliti dibuat demi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM. Selain itu, rujukan juga dibuat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut. Semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya akan ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan. Saya ingin menegaskan di dewan yang mulia ini bahawa kaedah perolehan kelengkapan ATM yang dibangkitkan telah dilaksanakan mengikut tatacara perolehan kerajaan.

Sehubungan dengan dakwaan yang dibuat oleh Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh bahawa Syarikat Perimekar Sdn. Bhd. menerima komisen EURO 114.96 juta berkaitan dengan pembelian kapal selam “Scorpene”, kementerian ini menegaskan bahawa kerajaan TIDAK ADA DAN TIDAK PERNAH membayar sebarang komisyen sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada syarikat berkenaan. Perolehan kapal selam tersebut telah dibuat secara runding terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan Syarikat pembuat iaitu Perancis dan Sepanyol yang telah mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

Kontrak Perolehan kapal selam ini telah ditandatangani pada 5 Jun 2002 oleh Kerajaan Malaysia dengan Syarikat DCNS (Perancis) dan Syarikat NAVANTIA (Sepanyol) selaku pembekal kapal selam dan Perimekar Sdn Bhd sebagai Project Services Provider. Nilai kontrak ini ialah EURO1.084 bilion. Skop kontrak ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu :

  1. Bahagian Pertama : Antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat DCNS (Perancis) dan NAVANTIA (Sepanyol) merangkumi perolehan dua buah kapal selam jenis SCORPENE, pakej Integrated Logistic Support (ILS) dan latihan untuk warga kapal selam SCORPENE. Nilai bahagian ini ialah EURO969.15 juta.
  2. Bahagian Kedua : Antara Kerajaan Malaysia dengan Perimekar Sdn Bhd merangkumi perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam TLDM di Cherbourg, Perancis dan Cartagena, Sepanyol serta pelatih-pelatih kapal selam di Brest, Perancis. Nilai bahagian ini ialah EURO114.96 juta.

Kerajaan tidak membuat sebarang rundingan pembelian dengan syarikat Perimekar Sdn. Bhd. Syarikat Perimekar Sdn. Bhd. yang didakwa terlibat dalam pembelian dan menerima komisyen, sebenarnya diberi kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan “service provider” dan koordinasi untuk tempoh enam tahun. Selain itu, segala perbelanjaan untuk projek kapal selam ini dapat dikawal dan dijadualkan manakala perbelanjaan di luar jangka (cost over-run) dapat dielakkan memandangkan pelaksanaan projek perolehan kapal selam memakan tempoh masa yang panjang iaitu selama enam tahun serta melibatkan bilangan seramai 213 anggota yang terdiri dari pegawai dan pelatih. Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak EURO 114.96 juta yang dibayar secara berperingkat mengikut kemajuan projek kapal selam. Sehingga kini, sebanyak EURO 95.54 juta atau 83.11% telah dibayar kepada syarikat tersebut.

Untuk makluman, kapal selam pertama iaitu KD TUANKU ABDUL RAHMAN telah siap dibina dan sedang menjalani ujian laut (Supplier Sea Internal Trial). Kapal selam pertama ini perlu menjalani beberapa lagi ujian sebelum ianya diserahkan kepada TLDM pada 25 Januari 2009. Dari segi peratus pembinaan, kapal selam ini telah mencapai 88.4%. Manakala kapal selam kedua telah dipasang dengan semua peralatan dan sistem. Kini, pembekal sedang giat membuat ujian pelabuhan (Harbour Acceptance Trials) dan integrasi sistem. Dari segi peratus pembinaan, kapal selam ini telah mencapai 81.0%. Ianya akan diserahkan kepada TLDM pada 25 Oktober 2009.

Syarikat Perimekar Sdn. Bhd. adalah dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Berhad dan K.S. Ombak Laut Sdn. Bhd. Perkhidmatan sokongan dan koordinasi yang disediakan adalah seperti berikut :

  1. SKOP KERJA PERKHIDMATAN SOKONGAN
    1. Menyediakan kemudahan kediaman berserta kelengkapan untuk tim projek bagi 27 keluarga pegawai di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.
    2. Menyediakan pejabat urusan dan kediaman berserta kelengkapan bagi krew kapal TLDM seramai 156 orang dan 30 staf penyelenggara pangkalan untuk tempoh empat tahun di Perancis dan Sepanyol.
    3. Menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.
    4. Membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO 60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua.
    5. Membiayai kos penerbangan pergi dan balik bagi setiap krew kapal selam untuk balik bercuti ke Malaysia pada setiap empat bulan (tiga kali setahun).
    6. Lain-lain keperluan tim projek dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol.
  2. SKOP KERJA PERKHIDMATAN KOORDINASI
    1. Bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off set.
    2. Membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung pelaksanaan kontrak.
    3. Menyelaras latihan krew kapal selam antara kontraktor dengan kerajaan.
    4. Menyediakan laporan koordinasi setiap bulan.

Berkaitan dengan perolehan pesawat pejuang “Sukhoi” pula, Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa perolehan adalah dibuat secara runding terus dengan Kerajaan Rusia melalui Syarikat Rosoboronexport, iaitu sebuah syarikat milik kerajaan Rusia.

Rundingan ini adalah selari dengan ketetapan kerajaan Rusia yang mempunyai dasar bagi mengawasi penjualan peralatan ketenteraan keluaran syarikat negara tersebut.

Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Syarikat IMT Defence (M) Sdn. Bhd. adalah wakil tunggal Syarikat Rosoboronexport di Malaysia yang dilantik pihak syarikat Rusia tersebut. Kerajaan tidak mencampuri urusan perniagaan di antara kedua-dua syarikat tersebut. Justeru itu saya menegaskan bahawa kerajaan tidak membayar sebarang komisyen kepada Syarikat IMT (M) Defence Sdn. Bhd. seperti yang didakwa.

Tuduhan yang dilemparkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa kerajaan telah membayar komisyen bagi pembelian kapal selam dan Sukhoi adalah tidak benar dan satu rekaan yang diatur, secara berterusan “concerted” (dengan izin) demi kepentingan politik mereka untuk mengelirukan rakyat.

Isu komisyen yang diada-adakan ini adalah sangat jelas direka, dimanipulasi dan sengaja disalahertikan oleh pembangkang sehingga mereka tidak pernah menghiraukan kesan-kesan buruk terhadap imej ATM dan keselamatan negara. Ia dibuat semata-mata untuk membakar hati rakyat dan bukan menegakkan kebenaran.

Tuan Yang Di Pertua,

Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh juga mendakwa adanya unsur rasuah dan pembaziran di dalam kontrak perolehan 27 buah kapal peronda Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) yang diberikan ke
pada syarikat PSC-Naval Dockyard.

Saya ingin memaklumkan bahawa Syarikat PSC-Naval Dockyard telah diberi kontrak penyelenggaraan kapal dan perkakasan untuk TLDM selama 15 tahun di samping merekabentuk dan membina 27 buah kapal ronda generasi baru (PV). Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan industri maritim negara dengan menggunakan kemudahan-kemudahan infrastruktur yang ada dalam negara serta menjadi pemangkin kepada perkembangan teknologi dan industri berat. Ianya menyediakan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada vendor.

Di bawah kontrak awal yang diberikan pada 11 Disember 1995 kepada PSC-Naval Dockyard, kerajaan membuat tempahan enam buah kapal peronda dengan nilai kontrak berjumlah RM5.35 bilion yang sepatutnya siap di antara September 2004 sehingga April 2007. Namun begitu, PSC-Naval Dockyard tidak dapat memenuhi syarat kontrak dan hanya dua buah kapal peronda saja yang hampir siap pada tahun 2006.

Memandangkan kegagalan pengurusan PSC-Naval Dockyard untuk menjayakan kontrak ini, kerajaan terpaksa meneruskan projek berkenaan dengan pihak LTAT mengambil alih syarikat PSC-Naval Dockyard bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar, termasuk usaha untuk membentuk industri maritim yang berdaya maju. Berikutan dengan pengambilan alih oleh Kumpulan LTAT, syarikat ini ditukar nama kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Tuan Yang Di Pertua,

Sejajar dengan keputusan ini kerajaan memberi kelulusan kenaikan nilai kontrak dari RM5.35 bilion kepada RM6.75 bilion iaitu peningkatan RM1.4 bilion. Ini bagi memastikan pembinaan kesemua enam buah kapal peronda berjalan dengan lancar bagi mengatasi segala keperluan teknikal kapal-kapal tersebut. Kenaikan nilai kontrak ini adalah juga disebabkan kenaikan kos termasuk kos bahan mentah, dan peningkatan kadar mata wang EURO di antara tahun 2000 hingga 2007.

Saya juga ingin menegaskan bahawa bayaran yang dibuat oleh Kementerian Pertahanan adalah berasaskan kepada jadual siap kerja bagi keenam-enam kapal yang dibina serentak. Sehubungan dengan pengecualian penalti, kerajaan bersetuju dengan rayuan yang dibuat oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd bahawa jika penalti dikenakan ianya tidak setimpal dengan usaha syarikat menyiapkan pembinaan keenam-enam kapal tersebut.

Tuan Yang Di Pertua,

YB Bagan juga bertanya mengapa harga pembelian pesawat Sukhoi lebih mahal berbanding dengan pesawat Sukhoi yang dibeli oleh negara India.

Secara prinsipnya harga pesawat Sukhoi yang ditawarkan oleh pihak Rusia kepada Malaysia tidak banyak berbeza seperti yang ditawarkan kepada pihak India.

Kerajaan sebelum memuktamadkan harga dengan pihak Rusia berhubung perolehan tersebut telah membuat kajian termasuk membuat perbandingan harga dengan pihak Tentera Udara India.

Perbezaan harga secara keseluruhannya hanyalah tertumpu kepada perkara-perkara berikut :

  1. Konfigurasi pesawat yang berbeza – India banyak menggunakan teknologi Israel bagi sistem avioniknya berbanding Malaysia yang menggunakan Teknologi Thales, Perancis. Ini bermakna kos integrasi tidak sama.
  2. Bilangan pesawat yang dibeli juga tidak sama di mana kuantiti yang dibeli oleh Malaysia adalah sebanyak 18 buah berbanding 180 oleh pihak India dan daripada jumlah tersebut sebanyak 140 buah dibuat oleh fasilitas di India.

Tuan Yang Di Pertua,

Ahli Yang Berhormat Batu membangkitkan soalan mengapakah Kementerian Pertahanan tidak membenarkan Negara Iran meneruskan penyertaan pameran DSA pada 21 hingga 24 April 08. Adakah tindakan ini menunjukkan negara kita sebuah negara berdaulat dan bebas dari pengaruh Barat.

Tuan Yang Di Pertua,

Tindakan Kementerian Pertahanan melarang Iran dari menyertai DSA 2008 sebenarnya tidak kena mengena dengan pengaruh negara Barat. Iran pada awalnya dibenarkan menyertai pameran dengan syarat mereka mempamerkan barangan yang tidak tersenarai dalam resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB. Hanya selepas Iran bersetuju mematuhi syarat ini mereka dibenarkan. Walau bagaimanapun, Iran didapati melanggar syarat ini dan Kementerian terpaksa menamatkan penyertaan mereka.

Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Resolusi-Resolusi 1737, 1747 dan 1803 melarang Iran melakukan sebarang bentuk perdagangan senjata atau membawa senjata ke negara ketiga.

ISU PLKN

Ahli Yang Berhormat Batu juga bertanya sama ada Kementerian Pertahanan mengkaji semula formula meningkatkan keselamatan pelatih-pelatih PLKN berdasarkan beberapa kes kematian, kecederaan dan kemalangan sejak program ini dijalankan.

Tuan Yang Di Pertua,

Sejak PLKN dilaksanakan pada tahun 2004 adalah tidak dinafikan beberapa kejadian yang tidak diingini berlaku melibatkan keselamatan pelatih. Setiap kali saya menerima berita kematian pelatih PLKN, hati saya amat tersentuh dan sedih atas kejadian yang tidak diingini. Namun demikian, usaha murni kita untuk menjayakan matlamat asal program PLKN bagi membina jati diri pelatih melalui aktiviti di kem-kem harus dilihat secara positif dan membina. Bagi mencapai matlamat membina bangsa Malaysia yang kuat, bersatu padu, mengamalkan nilai-nilai murni serta menghormati antara satu sama lain, saling bekerjasama ke arah membina negara Malaysia yang lebih cemerlang, maka kita akan terus menjayakan program Khidmat Negara ini.

Tuan Yang Di Pertua,

Saya ingin memaklumkan bahawa setakat ini 16 pelatih PLKN atau 0.004% telah meninggal dunia dari jumlah keseluruhan pelatih semenjak 2004 iaitu seramai 339,186 orang. Dari jumlah tersebut, 11 pelatih meninggal di Kem Latihan dan lima pelatih meninggal di luar kem. Pelatih yang meninggal dunia di dalam kem, tujuh darinya adalah disebabkan penyakit dan empat akibat kemalangan.

Tuan Yang Di Pertua,

Saya ingin memaklumkan bahawa penerimaan rakyat terhadap program ini amat menggalakkan walaupun terdapat kes kematian tersebut. Bukti keyakinan rakyat dapat dilihat dari jumlah permohonan secara sukarela telah meningkat dari 929 orang (2007) kepada 1,137 orang (2008).

Namun begitu JLKN sentiasa berusaha untuk melaksanakan penambahbaikan bagi membendung kejadian-kejadian seperti ini. Formula keselamatan yang diberi fokus oleh JLKN adalah melalui pembangunan sumber manusia dengan memberi penekanan ke atas aspek pemilihan jurulatih yang sesuai, pembangunan jurulatih melalui latihan persijilan, penerapan nilai murni dan etika serta program kejurulatihan yang bersistematik.

Di samping itu aspek keselamatan prasarana dan kemudahan latihan turut juga diberi perhatian melalui pemeriksaan berkala oleh Pegawai Jabatan Kesihatan dan juru perunding yang bertauliah. Untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan di setiap kem, JLKN telah menempatkan seorang jurulatih dari PDRM.

JLKN juga sentiasa memantau spesifikasi kontrak terhadap aspek-aspek keselamatan yang perlu dipatuhi oleh Pengusaha Kem. Di samping itu pengauditan keselamatan kemudahan latihan dilaksanakan oleh NIOSH dan Tim Inspektorat Jabatan.

Dalam aspek kesihatan dan kebajikan seramai 5 orang kakitangan Kementerian Kesihatan dan dibantu oleh 2 orang Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia ditempatkan setiap kem PLKN. Bekalan peralatan dan ubatan yang mencukupi bagi sepanjang tempoh latihan juga disediakan. Bagi melicinkan pergerakan pesakit ke hospital sebuah ambulan akan ditempatkan di setiap kem.

Untuk tujuan penyaluran maklumat dan pemantauan yang berkesan di antara ibu pejabat dan kem-kem di seluruh negara Bilik Gerakan JLKN berfungsi 24 jam.

Walaupun formula-formula di atas telah dilaksanakan JLKN tetap berusaha untuk meningkatkan lagi tahap pemantauan kesihatan di mana kerajaan bercadang untuk mewajibkan setiap pelatih menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui status kesihatan pelatih sebelum memasuki kem-kem PLKN.

Tuan Yang Di Pertua,

Walau bagaimanapun, Kerajaan memberi jaminan bahawa usaha-usaha aka
n terus dilakukan bagi menambahbaikan lagi aspek kesihatan dan keselamatan pelatih demi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang lagi.

Ahli Yang Berhormat Batu juga menyentuh mengenai pembelian senjata dan peralatan yang canggih yang menelan perbelanjaan yang besar yang tidak semestinya menjamin keselamatan negara. Beliau juga berkata perkara yang sepatutnya diberi penekanan adalah menjaga modal insan khususnya kebajikan tentera termasuk kehidupan setelah bersara seperti pencen, peluang pekerjaan dan perumahan.

Tuan Yang Di Pertua,

Anggapan Ahli Yang Berhormat dari Batu bahawa perolehan peralatan ketenteraan tidak menjamin keselamatan negara adalah tidak benar. Untuk makluman, Malaysia telah mengguna pakai konsep defensive posture dan segala usaha yang dilaksanakan untuk membangunkan keupayaan ketenteraan adalah berasaskan kepada keupayaan (capability-based). Dalam konteks Malaysia, capability-based menjurus kepada pembangunan keupayaan kredibel yang diperlukan bagi mempertahankan kepentingan-kepentingan negara dari ancaman luar negara demi mempertahankan mendaulatkan negara. Pada masa yang sama, Malaysia perlu mempunyai keupayaan deterence untuk menjadikannya lebih dihormati dan disegani.

Kementerian Pertahanan sememangnya amat prihatin dan tidak lupa tentang kebajikan anggota tentera mahupun pesara-pesara tentera. Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan akan terus memberi perhatian dan berusaha untuk menjaga kebajikan anggota tentera secara menyeluruh melibatkan tindakan penambahbaikan dari segi skim perkhidmatan, gaji, elaun/insentif dan peluang kenaikkan pangkat. Pewujudan 645 Jawatan Fleksi Mejar/Leftenan Kolonel dan setaraf telah diluluskan oleh kerajaan bagi jawatan-jawatan tertentu bagi menjaga kebajikan anggota.

Adalah menjadi hasrat kementerian bahawa modal insan dipertingkatkan di kalangan anggota tentera terus dipertingkatkan. Pembangunan modal insan ini meliputi usaha-usaha bagi meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan, pengamalan nilai-nilai murni, pemupukan jiwa yang bercita-cita tinggi, bersifat patriotik serta memiliki kekuatan fizikal dan spiritual di kalangan semua peringkat anggota ATM. Kemudahan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi melalui biasiswa Skim Pengajian Tinggi dan pinjaman tanpa faedah Tabung Pengajian Tinggi Angkatan Tentera (TAPAT) diperluaskan.

Kerajaan sentiasa berusaha membuka jalan bagi anggota tentera yang telah bersara supaya dapat berdikari dan memperoleh pekerjaan untuk menampung kehidupan selepas mereka menamatkan perkhidmatan dengan ATM. Penubuhan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) mencerminkan keprihatinan dan usaha kerajaan ke arah peningkatan tahap kebajikan dan sosioekonomi pesara tentera. JHEV sentiasa menggalakkan pesara tentera supaya bergiat aktif dalam bidang perniagaan, pertanian, ternakan dan perikanan yang dilaksanakannya dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan yang berkenaan.

ISU FELDA

YB. Pontian:
SKIM PENEROKA FELDA DIHIDUPKAN SEMULA

Ahli Yang Berhormat Pontian membangkitkan soalan mengapa terdapat kira-kira 54,977 keluarga yang miskin dan miskin tegar di negara ini. Beliau juga mencadangkan agar fasa kedua Felda dimulakan dengan segera iaitu empat ekar tanah diberikan kepada sebuah keluarga di mana 1/5 untuk tapak rumah, tiga ekar ditanam sawit dan 4/5 ekar lagi untuk usaha IKS untuk fidlot lembu daging, lembu tenusu atau kambing. Beliau juga mencadangkan hanya mereka yang layak dan miskin sahaja diterima untuk menyertainya.

Tuan Yang Di Pertua,

Pada tahun 2006, Kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk mengkaji semula dasar pengambilan peneroka, tertakluk kepada persetujuan Kerajaan Negeri menawarkan tanah baru untuk tujuan pembangunan. Keputusan ini diambil sebagai salah satu usaha mengatasi isu kemiskinan yang masih terdapat di beberapa negeri. Pembukaan tanah baru ini perlu mendapat persetujuan Kerajaan Negeri untuk dibangunkan oleh Felda. Sebagai mengatasi kos penempatan dan infrastruktur yang besar, Kerajaan mencadangkan beberapa model pembangunan tanah yang baru. Cadangan Ahli Yang Berhormat pembangunan tanah baru berdasarkan pemilikan tanah yang lebih kecil dengan melaksanakan pelbagai aktiviti industri asas tani adalah baik. Terpulanglah kepada pihak Kerajaan Negeri untuk memberi pertimbangan menawarkan tanah baru kepada Kerajaan Pusat selain mengadakan kerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk membantu penduduk miskin melalui pelbagai aktiviti dalam bidang industri asas tani.

YB. Jempol:
PUSAT PELUPUSAN SAMPAH DIWUJUDKAN DI KAWASAN FELDA

Beliau mencadangkan agar pusat pelupusan sampah diwujudkan di kawasan FELDA untuk mengelakkan bahan-bahan toksik (hasil pelupusan sampah) mencemarkan sungai.

Tuan Yang Di Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi meningkatkan keberkesanan dan mewujudkan sistem pelupusan yang teratur FELDA telah menubuhkan Majlis Tempatan untuk melaksanakan aktiviti pelupusan dan pembuangan sampah. Mulai tahun 2008 FELDA memberi sumbangan atas kadar 2:1 iaitu RM10 disumbangkan FELDA dan RM5 oleh peneroka bagi membiayai kos pelupusan sampah.

Majlis Tempatan FELDA digerakkan di tanah rancangan bagi menguruskan hal ehwal berkaitan dengan program keceriaan termasuklah lanskap, penanaman pokok di sekitar jalan utama, pelupusan sampah dan lain-lain lagi.

YB. Silam/YB. Kimanis:
KAJI SEMULA PERANAN FELDA DALAM PEMBANGUNAN TANAH DI SABAH

Beliau menyarankan agar Kerjaan mengkaji semula peranan FELDA di sabah agar objektif Kerjaan membasmi kemiskinan tegar di Sabah tercapai.

Tuan Yang Di Pertua,

Kerajaan Pusat mengambil maklum tentang saranan Ahli Yang Berhormat Silam akan peranan Felda dalam usaha membasmi kemiskinan di kalangan penduduk tempatan di Negeri Sabah. Dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan ini, sukacita dimaklumkan mulai tahun 2006 Kerajaan Pusat telah bersetuju memberi sumbangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak 30 peratus hasil keuntungan bersih ladang Felda di Negeri Sabah. Sehingga tahun 2008 Kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM165.93 juta kepada Kerajaan Negeri. Peruntukan yang disalurkan ini adalah untuk membiayai projek yang sesuai berkaitan dengan usaha mengurangkan kadar kemiskinan.

LAMPIRAN 1

ISU ALTANTUYA

Tuan Yang Di Pertua,

Saya sedar bahawa Ahli-ahli Dewan yang mulia amat prihatin terhadap kes perbicaraan berkaitan pembunuhan seorang wanita Mongolia. Saya juga tahu ada Ahli Dewan dengan sengaja cuba mengaitkan nama saya dalam kes ini. Namun demikian, Alhamdulillah, saya masih dapat bertahan daripada segala tohmahan dan fitnah yang cuba dilempar dengan niat untuk mencemarkan nama saya.

Tuan Yang Di Pertua,

Memandangkan kes ini masih berjalan, dan demi menghormati institusi mahkamah yang menjalankan perbicaraan, adalah elok bagi saya untuk tidak membuat sebarang komen. Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab dan demi menegakkan keadilan dan kebenaran, maka saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa saya tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan wanita yang dimaksudkan dalam kes ini sepertimana yang telah saya perjelaskan beberapa kali.

LAMPIRAN 1

Tuan Yang Di Pertua,

Oleh itu, biarlah Mahkamah terus menjalankan peranan dan tanggungjawab menegakkan keadilan di negara ini tanpa ada apa-apa gangguan dari mana-mana pihak. Dalam masa yang sama juga saya berdoa semoga kes ini dapat diadili dengan sebaik-baiknya dan kebenaran akan terserlah demi kedaulatan undang-undang yang sama-sama kita junjung.

LAMPIRAN 2

Semasa syarikat PSC-Naval Dockyard menghadapi masalah, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui anak syarikatnya Boustead Holdings Berhad pada 2 Disember 2005 telah mengambil alih pengurusan syarikat PSC-Naval Dockyard sebagai satu langkah untuk mengatasi masalah aliran tunai serta mengukuhkan struktur pengurusan syarikat tersebut. Dengan pengambilalihan ini, Boustead Holdings Berhad telah m
enyingkirkan Tan Sri Amin Shah yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah syarikat PSC-Naval Dockyard dan Pengerusi Kumpulan PSCI ketika itu dan pengurusannya. Dengan itu, tindakan ke atas Tan Sri Amin Shah adalah di bawah pengurusan baru dan pemegang sahamnya. Difahamkan Boustead Naval Shipyard di bawah pengurusan barunya sedang menjalankan siasatan ke atas masalah yang dihadapi oleh pengurusan lama PSC-Naval Dockyard. Tindakan selanjutnya akan diambil selepas siasatan selesai dibuat.

Leave a Reply