News_archive

Memorandum Tenaga Nuklear Ke Kabinet Dalam Tempoh Dua Minggu

By Sunday June 7th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) — Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan membentangkan kertas memorandum mengenai tenaga nuklear kepada kabinet dalam tempoh dua minggu.

Menterinya, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata memorandum itu akan menyentuh tentang kebaikan tenaga nuklear terhadap masyarakat sebelum diperluaskan penggunaannya kepada umum.

“Kalau kabinet setuju, kita akan mengadakan satu sebaran meluas kepada rakyat kita untuk memaklumkan kepada mereka yang teknologi (nuklear) yang kita akan gunakan adalah selamat,” katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan warga kerja Tenaga Nasional Bhd di sini hari ini.

Chin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini supaya kementerian itu melawat Korea Selatan bagi meninjau teknologi hijau yang digunakan oleh republik itu.

Najib berkata Korea Selatan mempunyai kelebihan berbanding negara lain dalam teknologi reaktor nuklear berskala kecil di mana 40 peratus daripada keperluan tenaga dalam negaranya dibekalkan melalui pelbagai jenis reaktor nuklear, bersaiz besar dan kecil.

Perdana Menteri berkata reaktor nuklear berskala kecil itu begitu selamat dan mampu menjana tenaga dalam lingkungan 200,000 hingga 300,000 kilowatt.

Chin, yang turut menyatakan hasrat untuk berkunjung ke Korea Selatan untuk meninjau teknologi itu berkata adalah amat penting untuk mengetahui kepentingan tenaga nuklear untuk penjanaan elektrik pada masa depan dengan menggunakan penjana tenaga yang begitu murah berbanding bahan api fosil atau gas dan seumpama dengannya.

“Tenaga nuklear ini, di Korea Selatan sudah ada teknologi yang mantap dan matang. Sebab itu, tiada unsur-unsur bahaya. Di Perancis pula, bagi penjanaan tenaga, hampir 80 peratus adalah daripada nuklear,” katanya.

Menyentuh mengenai penstrukturan aset air di Selangor, Chin berkata perbincangan antara pihak terlibat dengan kementerian berjalan dengan lancar.

“Saya yakin perbincangan itu akan dapat diselesaikan menjelang akhir Jun,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply