Blog

Melawat Tapak Pembinaan MRT Cochrane

By Tuesday March 3rd, 2015 No Comments

Saya sedar bahawa kerja-kerja pembinaan MRT yang rancak berlaku kini sedikit sebanyak mengganggu perjalanan lalu lintas di sekitar ibu kota. Tetapi bak kata pepatah; “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian”. Insya-Allah, saya yakin kesusahan yang dialami kini adalah untuk keselesaan masa hadapan. Saya telah melawat tapak pembinaan MRT Cochrane hari ini untuk meninjau sendiri kerja-kerja pembinaan. Kerja penerowongan MRT di sini telah dilancarkan dua tahun lepas dan semasa lawatan tadi, dilihat bahawa kerja pembinaan hampir siap.

Sewaktu saya di tapak pembinaan, begitu ramai pekerja MRT Cochrane yang menyambut kedatangan saya dan ingin menerangkan tahap kemajuan projek. Rata-rata saya lihat mereka gembira kerana diberi penghargaan atas usaha dan penat lelah mereka untuk memastikan kerja-kerja berjalan lancar. Kekalkan momentum ini warga MRT Malaysia, dan pastikan perjalanan pertama MRT dapat kita nikmati pada akhir tahun depan. Projek ini, Insya Allah, akan memanfaatkan 1.2 juta penduduk sekitar Lembah Klang.

Saya akan kerap turun padang membuat lawatan seperti ini untuk menilai prestasi Kementerian, agensi-agensi dan jabatan-jabatan Kerajaan. Lawatan sebegini juga penting sebagai saluran komunikasi langsung antara pengurus projek dengan Perdana Menteri untuk memahami dan mendengar sendiri cabaran serta kemajuan terkini.

Projek-projek serta janji Kerajaan Barisan Nasional akan kami tunaikan dan laksanakan mengikut jadual. Inilah prinsip dan etika kerja yang akan terus menjadi panduan harian Kerajaan Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

IMG_8490

IMG_8491

IMG_8492

IMG_8493

Leave a Reply